Kestabilan politik, tadbir urus cekap pacu kesejahteraan rakyat
KESTABILAN politik dan tadbir urus yang cekap akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat serta negara termasuk mendorong perkembangan ekonomi yang lebih positif.
Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
30 Oktober 2024, 8:00 am
MEMASUKI usia dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 November ini menyaksikan situasi politik negara semakin stabil melalui tadbir urus yang cekap sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan hidup segenap lapisan anggota masyarakat.
Secara umumnya pergolakan politik dilihat semakin reda tanpa sebarang isu besar sekali gus membolehkan Anwar melaksanakan tanggungjawab dengan lebih tenang serta fokus ke arah memacu kegemilangan negara dan kesejahteraan rakyat. Ini ditambah pula dengan pelbagai inisiatif kerajaan untuk memperbaiki tadbir urus dan tatakelola pentadbiran kerajaan di semua peringkat.
Ironinya kestabilan politik, tadbir urus yang cekap dan kesejahteraan hidup rakyat mempunyai nilai hubungan yang cukup signifikan. Tidak mungkin ekonomi berkembang maju dan negara terus aman andai pergolakan politik berlarutan selain amalan tadbir urus yang cekap tidak diberi keutamaan.
Jujurnya kestabilan politik memberi impak positif yang besar kepada kehidupan rakyat dan pembangunan negara. Misalnya, kestabilan politik yang ada pada ketika ini membolehkan kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar baharu untuk membela nasib dan kebajikan rakyat melalui Dasar Gaji Progresif dan Dasar Gaji Minimum selain mengambil langkah-langkah berani termasuk yang tidak popular seperti penyelarasan subsidi demi meletakkan ekonomi negara di landasan yang tepat serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Menerusi Belanjawan 2025 misalnya, dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM421 bilion mencakupi 60 ikhtiar, kerajaan dapat memberi tumpuan menangani pelbagai permasalahan rakyat dan negara khususnya peningkatan kos sara hidup apabila 85 peratus daripada inisiatif yang diumumkan memberi manfaat besar kepada rakyat terbanyak.
Perlu diakui keberanian kerajaan merancang pelbagai inisiatif melalui iltizam politik yang kuat ini hanya dapat dilakukan apabila adanya kestabilan politik yang tidak mengganggu gugat pentadbiran kerajaan.
Hakikatnya kestabilan politik yang ada pada ketika ini membolehkan rakyat menikmati kehidupan yang lebih tenang, selamat dan terjamin apabila kerajaan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap usaha untuk membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
Jadi kita berharap kestabilan politik yang ada ini terus dipertahankan agar segala perancangan dan dasar yang diperkenalkan dan akan dilaksanakan tanpa gangguan. Ini bermaksud apa sahaja usaha untuk mengganggu kestabilan yang ada oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda tersendiri perlu ditangani dengan bijak dan segera.
Kestabilan politik pula perlu hadir dengan amalan tadbir urus yang cekap dan baik di semua peringkat pentadbiran supaya menjadi formula mujarab bagi menyelesaikan semua isu berkaitan rakyat serta negara, Ini akan memacu kegemilangan ekonomi dan meletakkan negara di landasan yang betul di peta dunia.
Dalam konteks ini pimpinan kerajaan dan penjawat awam perlu menjadi pendukung utama menjayakan agenda Perdana Menteri yang sedang berusaha keras memerangi rasuah, penyelewengan, ketirisan dan salah guna kuasa dalam jentera pentadbiran kerajaan. Harus diingat, tadbir urus yang baik dan cekap hanya akan hadir apabila kita berjaya menoktahkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Maka usaha pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa perlu terus diperkasakan di semua peringkat supaya dapat melahirkan pemimpin dan penjawat awam yang bertanggungjawab, amanah dan memiliki nilai integriti yang tinggi.
Dalam konteks ini diharap peningkatan peruntukan diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada RM360 juta dalam Belanjawan 2025, berbanding RM338 juta tahun ini akan membantu agensi itu dalam usahanya membanteras gejala rasuah di negara ini. Beri perhatian signifikan terhadap usaha meningkatkan kesedaran rakyat melalui pendidikan selain memperketatkan aspek penguatkuasaan agar dapat singkirkan rasuah dan salah guna kuasa dari masyarakat kita.
Hakikatnya kestabilan politik dan tadbir urus yang cekap akan memberikan banyak manfaat kepada rakyat serta negara, antaranya mendorong perkembangan ekonomi yang lebih positif. Misalnya pelaburan asing dan domestik akan meningkat apabila pelabur yakin serta percaya dengan kemampuan pimpinan negara selain tiadanya masalah birokrasi yang mengganggu operasi perniagaan mereka.
Selain itu, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan apabila kerajaan lebih mudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat tanpa sebarang gangguan politik mahu pun salah guna kuasa.
Dengan kestabilan politik dan tadbir urus yang cekap negara juga dapat menikmati hubungan antarabangsa yang baik lantas membuka peluang kerjasama selain bantuan luar untuk memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya kesejahteraan rakyat.
Kerajaan yang stabil dan kuat juga meningkatkan keyakinan rakyat tentang hala tuju, masa depan serta mengurangkan segala bentuk kerisauan juga ketidakpastian. Manakala amalan tadbir urus yang cekap membolehkan kerajaan memberi layanan adil lagi saksama yakni tiada rakyat yang terpinggir atau dizalimi.
Pihak kerajaan juga boleh menumpukan perhatian penuh terhadap usaha membangunkan negara melalui pelbagai rancangan jangka pendek dan jangka panjang apabila kestabilan politik serta tadbir urus yang cekap dapat menangani sekali gus mengurangkan masalah ketidakpuasan hati atau protes dari rakyat.
Walaupun kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak namun iltizam politik melalui tadbir urus yang telus membolehkan kerajaan membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, selesa dan selamat.
BERADA DI LANDASAN BETUL
Kerajaan perlu terus melaksanakan pelbagai lagi dasar bagi memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan negara dan kesejahteraan hidup rakyat khususnya kelompok majoriti dan golongan rentan tanpa menafikan hak minoriti. Dalam hal ini kerajaan tidak perlu melayan karenah dan polemik yang cuba dicetuskan oleh pelbagai pihak yang hanya tahu mencari kesalahan atau mengganggu proses reformasi yang sedang dilaksanakan.
Tuntasnya, kita yakin kerajaan berada di landasan yang betul untuk memacu kegemilangan negara melalui pelaksanaan pelbagai dasar baharu yang lebih progresif, drastik dan efisien. Justeru seluruh anggota masyarakat perlu terus memberikan sokongan penuh agar segala perancangan kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan segera supaya memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ulasan
Catat Ulasan