KIAS perlu berdaya saing tawar bidang ikut keperluan
October 8, 2024
KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) perlu lebih berdaya saing bagi menawar bidang pengajian dan kemahiran yang memenuhi tuntutan syarak dan keperluan masyarakat semasa dan masa hadapan.
Pengerusi Lembaga Pengelola KIAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, kualiti kurikulum dan pendidikan di KIAS akan menjadi tarikan kepada pelajar daripada rantau Asia.
“Pelaksanaan kursus-kursus pengajian di KIAS dalam medium bahasa Arab merupakan satu wadah dalam melahirkan para ilmuan yang mempunyai pengetahuan mendalam,” katanya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri itu berucap pada Istiadat Konvokesyen KIAS Ke-24 (sidang petang) di Dewan Johor, Nilam Puri, di sini semalam.
Kamaruzaman juga dalam ucapan itu berkata, KIAS ditubuh di atas kesedaran terhadap kepentingan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) bagi melahirkan modal insan berkualiti.
Bagaimanapun akui beliau cabaran dan perubahan landskap pengajian tinggi sekarang ini begitu dinamik.
“Atas kesedaran itu ramai anak muda hari ini mengejar ilmu, rajin belajar dan sekiranya tidak mampu ke IPT awam, mereka akan mencari IPT swasta termasuk KIAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan