LGBT makin berani tunjuk belang di Malaysia – BERJASA



LGBT makin berani tunjuk belang di Malaysia – BERJASA
October 8, 2024


KUALA LUMPUR: Kumpulan-kumpulan yang mendukung ideologi Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT) kini sedang menunjukkan belang mereka dengan tindakan yang semakin berani menonjolkan kerja jahatnya di hadapan awam secara terang-terangan.

Penolong Setiausaha Agung BERJASA, Ustazah Kaslawati Kassim berpendapat, tindakan mempromosi fahaman songsang ini jelas bertentangan dengan kehendak umum masyarakat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Beliau menyatakan perkara ini dengan merujuk penganjuran Larian Pan Asia Antarabangsa 2024 yang dilihat cuba diambil kesempatan untuk mempromosikan dan hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia.

“Semua pihak terutamanya golongan wanita dan ibu mesti berusaha untuk mendidik generasi mereka agar tidak terjebak dalam aktiviti yang merosakkan keturunan dan dimurkai oleh Allah SWT ini,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam secara sepakat telah menetapkan bahawa perbuatan liwat termasuk dosa besar yang diharamkan oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam surah As-Syuara ayat 165 dan ayat 166 yang bermaksud:

“Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki (yang suka melakukan hubungan jenis dengan lelaki) daripada kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan perempuan yang diciptakan oleh Tuhan untuk menjadi isteri-isteri kamu? Kamu (orang-orang yang bersalah) adalah kaum yang melampaui batas.”

Jelas beliau, seruan yang terkandung di dalam kitab Al-Quran itu jelas menunjukkan bahawa melakukan perbuatan keji tersebut adalah perbuatan diharamkan Allah SWT dan sangat melampaui batas.

“Justeru segala usaha yang menyokong gerakan ini di Malaysia wajib dibanteras dengan keras oleh semua pihak terutama pihak yang ada kuasa memerintah,” katanya.

Beliau turut menyokong tindakan diambil pihak berkuasa terhadap pelaku yang sengaja membawa promosi LGBT secara terang-terangan dan berharap hukuman sewajarnya dikenakan kepada mereka sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Sebelum ini juga Wanita BERJASA pernah menyuarakan berkali-kali bantahan terhadap permainan golongan LGBT ini yang cuba menyebarkan fahaman mereka secara agresif seperti di dalam perarakan Hari Wanita dan hiburan di Malaysia.

“Alasan yang mereka berikan kononnya ia sebagai satu bentuk solidariti untuk golongan yang tertindas di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

Ulasan