Najib sengaja butakan mata, cuba tutup skandal 1MDB
NAJIB RAZAK
Oleh SUWARNI MOKHTAR
30 Oktober 2024, 5:31 pm
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sengaja membutakan matanya apabila terdapat kemasukan wang berjumlah AS$681 juta masuk ke dalam akaun peribadi miliknya.
Walaupun sebahagian besar wang tersebut (AS$620 juta) telah dipulangkan semula, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya mengambil langkah untuk mengetahui sumber wang tersebut.
“Dalam semua keadaan, saya dapati tertuduh juga ‘sengaja membutakan mata’ mengenai kegagalannya untuk menyiasat asal usul dana ini yang mana dalam keadaan sedemikian rupa dia sepatutnya berbuat demikian,” kata hakim itu.
Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan yang juga pegawai bank, turut menunjukkan Najib tidak pernah membangkitkan sebarang pertanyaan mengenai dana yang dimasukkan ke dalam akaunnya sejak empat tahun lalu.
Hakim Sequerah juga berkata, keterangan pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nur Aida Arifin menunjukkan terdapat usaha untuk menyembunyikan skandal 1MDB oleh tertuduh dengan bantuan beberapa individu lain.
“Sembilan rakaman audio yang diperoleh saksi itu ketika menjalankan siasatan menunjukkan terdapat usaha oleh tertuduh untuk menutup isu 1MDB dengan bantuan beberapa individu,” katanya.
Pada perbicaraan sebelum ini, beberapa rakaman audio dimainkan di mahkamah termasuk perbualan di antara Najib dengan seseorang yang dipanggil ‘Yang Mulia’ (Your Excellency).
Saksi pendakwaan ke-42, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dalam keterangannya menyatakan, salah seorang daripadanya ‘kedengaran seperti suara Datuk Seri Najib, satu lagi (suara) seperti orang Arab’.
Selain itu, keterangan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan menunjukkan bahawa Jho Low telah mengarahkan sekutunya, Kee Kok Thiam untuk merangka `surat derma Arab’ ketika mereka berada di sebuah bilik hotel di London.
Ai Swan dalam keterangannya menyatakan, dia ada meninggalkan bilik tersebut buat beberapa minit dan sekembalinya wanita itu ke bilik berkenaan, bekas peguam itu melihat Kok Thiam sedang menyediakan surat tersebut.
“Bukti ini menyokong kes pendakwaan bahawa wang yang diterima tertuduh (Najib) bukanlah wang derma sebaliknya hasil daripada tindakan tertuduh sebagaimana yang dinyatakan pertuduhan.
“(Bukti) ini juga menimbulkan inferens yang munasabah terhadap asal-usul surat-surat derma Arab yang lain,” kata Hakim Sequerah.
Pada 31 Mei 2023, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu laporan media menyatakan Kok Thiam, 56, disahkan meninggal dunia disebabkan faktor kesihatan dan tiada unsur jenayah.
Pada 29 Mei 2023, lelaki terbabit dilaporkan telah meninggal dunia selepas hampir sebulan pulang ke negara ini setelah menghilangkan diri ekoran skandal penyelewengan tersebut.
Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3 pagi pada 3 Mei 2023 dan diarahkan pergi ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 10 pagi hari sama. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan