Nama sahaja doktor, tapi rupanya kaki buli



Nama sahaja doktor, tapi rupanya kaki buli
Oleh Adlinahani Binti Khalil
24 Oktober 2024, 6:35 am


ISU buli dalam kalangan petugas sektor kesihatan termasuk doktor kembali hangat diperkatakan rentetan kes kematian pakar patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa bunuh diri selepas menjadi mangsa buli.

Menurut laporan media sebelum ini, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah berhubung kematian pakar patologi di hospital di Lahad Datu, Dr. Tay Tien Yaa, yang dipercayai membunuh diri selepas menjadi mangsa buli.

Berdasarkan makluman kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Tay Tien meninggal dunia pada 29 Ogos lalu.



Adiknya, yang menggunakan nama YS Tay menerusi media sosial mendakwa Tay Tien yang melapor diri di Hospital Lahad Datu pada Februari lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.

Kematian Tay Tien berlaku ketika aduan mengenai keadaan kerja yang teruk dan perbuatan buli terhadap kakitangan kesihatan yang berlaku di hospital kerajaan di Sabah oleh pegawai yang lebih senior.

Kes itu mungkin antara yang berlaku dan mendapat perhatian pihak berwajib. Bagaimana dengan kes-kes lain yang ‘ditutup mulut’? Adakah perlu berlaku lebih banyak kematian akibat buli baru mahu ambil langkah drastik?


Saya sendiri pernah menyaksikan bagaimana doktor pelatih dimarahi dengan suara yang kuat oleh doktor pakar di hadapan pesakit semasa melahirkan anak di sebuah hospital pada tahun lalu.

Tidak pasti sama ada perbuatan itu bertujuan mengajar atau memang ‘tradisi’, namun sewajarnya tidak perlu menjatuhkan air muka doktor pelatih di hadapan pesakit dan pesakit juga sebenarnya tidak perlu menyaksikan ‘drama’ antara mereka.

Ya, memang benar kena bertindak tegas sebab tanggungjawab seorang doktor ini berat sebab sebarang kesilapan boleh memberi kesan, termasuk kematian.


Namun, sebagai manusia biasa, diherdik, dimarahi di hadapan orang ramai, sudah tentu sedikit sebanyak memberi kesan kepada psikologi manusia. Kita ada emosi dan perasaan.

Kembali kepada isu buli, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM menerusi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsan (NCEMH).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, garis panduan itu bertujuan meningkatkan kesedaran petugas kesihatan berhubung isu buli di tempat kerja.

Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana garis panduan itu boleh ‘melenyapkan’ isu buli melibatkan petugas kesihatan kerana sebelum ini sudah pun dilancarkan sistem aduan buli iaitu MyHELP bagi membolehkan petugas menyalurkan aduan mengenai insiden buli terus kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat kementerian tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan.

Bagaimanapun, sistem tersebut hanya terdapat ruangan aduan dan semakan laporan, tanpa memperincikan lebih lanjut bagaimana pengendalian pengurusan buli termasuk kaedah aduan disiasat.

Sehubungan itu, diharapkan garis panduan baharu itu mampu membela nasib petugas kesihatan yang menjadi mang­sa buli dan kepada si pembuli, mudahan dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.


Jangan jadikan alasan ‘dulu aku pun kena ragging macam ni, tengok sekarang aku sudah jadi doktor berjaya’.

Itu nasib anda, nasib orang lain kita tidak tahu. Kita tidak tahu mungkin hanya dengan herdikan, selepas itu kita dapat tahu dia sudah gantung diri. Bayangkan perasaan keluarganya hilang insan tersayang.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN

Ulasan