Penduduk bimbang banjir besar akibat sungai cetek
30 Oktober 2024 09:10am
Masa membaca: 4 minit
SETIAP kali tiba musim tengkujuh, penduduk Kampung Kemat, Hulu Terengganu pasti akan dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan pihak berkuasa di perkampungan itu.
Walaupun banjir diramal akan berlaku, rata-rata penduduk menyuarakan kebimbangan memandangkan keadaan sungai semakin cetek menyebabkan situasi lebih buruk sekiranya hujan lebat berterusan.
Wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM cuba menyelami permasalahan dialami penduduk di kawasan itu.
Beberapa penduduk yang menghuni lebih lima rumah berhampiran Sungai Por di Kampung Kemat, di sini, diselubungi kebimbangan sekiranya banjir buruk pada Februari 2022 berulang kembali.
Seorang penduduk, Kadir Daud, 79, berkata penduduk berasa trauma setiap kali berdepan hujan lebat kerana kawasan itu kini sering dilanda banjir kilat.
Menurutnya, air sungai akan melimpah sekiranya hujan lebat tidak berhenti dalam tempoh tiga hingga empat jam.
Keadaan jambatan di Sungai Por menghubungkan kediaman penduduk ke kawasan lain.
Artikel Berkaitan:Ban runtuh: Penduduk bimbang banjir berulang
“Kami yang tinggal di sini sentiasa bersedia ke tempat lebih selamat sekiranya hujan tidak reda kerana air sungai akan naik mendadak dan melimpah memasuki rumah penduduk.
“Punca air datangnya dari Sungai Por yang sekarang semakin cetek selepas banjir besar melanda dua tahun lalu,” katanya.
Kadir yang menetap di situ sejak 1968 berkata, sebelum 2022, kawasan itu tidak pernah dilanda banjir besar walaupun hujan lebat.
“Selepas banjir pada 2022, kawasan ini sering dinaiki air kerana keadaan sungai yang cetek.
“Ketika banjir besar sebelum ini, rumah saya dimasuki air sehingga 1.5 meter,” katanya yang menetap bersama isteri, Wan Fatimah Tun Latif, 77, dan empat anak.
Sementara itu, warga emas, Zainon Endut, 80, mengakui cemas setiap kali tiba musim hujan kerana bimbang jambatan dibina sejak 1984 menghubungkan rumahnya ke kawasan lain runtuh atau tidak boleh dilalui.
“Di kampung ini, rumah saya paling dekat dengan sungai. Bila tiba musim hujan, saya takut kalau air naik secara tiba-tiba dan tak sempat lari ke tempat selamat.
“Walaupun begitu, kami sudah buat persiapan awal di mana barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh sudah dibawa ke tempat lebih tinggi.
“Ketika banjir melanda tahun lalu, air naik menghampiri tempat simpanan barang dan hampir mencecah barang elektrik,” katanya yang menetap bersama enam ahli keluarga.
Katanya, mujur anak-anaknya yang menetap bersama membantu mengalihkan barangan ke tempat selamat.
Seorang lagi penduduk, Fatimah Mat, 68, berkata banjir besar dua tahun lalu menyebabkannya mengalami kerugian lebih RM2,000 kerana tidak sempat menyelamatkan perkakasan elektrik.
“Banjir tahun lalu pula saya tidak pindah kerana air tidak begitu besar.
“Namun, saya masih teringat banjir pada 2022 terutama apabila hujan lebat dan berasa bimbang.
“Waktu banjir dahulu, lumpur dan selut naik hampir 50 sentimeter dalam rumah, habis semua barang rosak kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya.
Jelas Fatimah, mereka yang tinggal di kampung itu berharap kerja mendalamkan sungai dapat segera disiapkan sebelum tiba musim tengkujuh dijangka berlaku bulan depan.
KERJA MENDALAMKAN SUNGAI SUDAH DILAKSANAKAN LEBIH SETAHUN LALU
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Mohd Zawawi Ismail berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melaksanakan kerja mendalamkan Sungai Por yang terletak berhampiran Kampung Kemat sejak tahun lalu.
Bagaimanapun Mohd Zawawi berkata, pihaknya sukar menjangkakan situasi bakal berlaku memandangkan terlalu banyak pasir di dasar sungai.
Keadaan pasir yang memenuhi laluan sungai menyebabkan permukaan menjadi cetek dan mudah dinaiki air. (Gambar kecil: Zawawi)
“Kita memahami situasi dialami penduduk apabila keadaan sungai cetek dan berisiko mencetuskan banjir besar.
“Dalam tempoh setahun ini, JPS melakukan kerja mendalamkan Sungai Kor, namun laluan sungai dilihat sudah berlaku hakisan.
“Keadaan ini disebabkan kerosakan struktur aliran sungai hingga pasir memenuhi laluan sungai yang bermula sejak banjir besar dua tahun lalu,” ujarnya.
Jelasnya, pihak kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya mengatasi masalah banjir dan penduduk diminta melakukan persediaan awal bagi mengelak terperangkap sekiranya berlaku bencana.
“Mereka yang tinggal di sini sudah ada pengalaman berdepan banjir, cuma kita harap mereka tidak tunggu situasi terlalu genting baru nak pindah.
“Kita nasihatkan supaya bersiap sedia dan segera berpindah jika hujan lebat berterusan.
“Mudah-mudahan situasi banjir tahun ini terkawal dan tidak begitu teruk seperti sebelumnya,” ujarnya.
Ulasan
Catat Ulasan