Perkasakan agenda nilai spiritual kalangan rakyat


Perkasakan agenda nilai spiritual kalangan rakyat
October 23, 2024

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: Bilangan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut meningkat 26.5 peratus pada 2023 kepada 1,567 berbanding 1,239 kes pada 2022.


Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, kerajaan perlu menumpukan dan memperkasakan agenda nilai spiritual di kalangan rakyat.

“Jika sekiranya pembangunan spiritual yang tidak seimbang, ia akan melahirkan kepincangan yang akan akhirnya menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat, negara dan sebagainya.

“Saya melahirkan kebimbangan terhadap berlakunya kes ini dan memerlukan satu penelitian yang rapi. Ini termasuklah bahan-bahan pornografi yang dihidangkan kepada kanak-kanak yang meningkat sehingga 139.3 peratus.

“Demikian juga yang melibatkan amang seksual dan sebagainya yang sebahagian besar berpunca daripada bahan pornografi daripada media sosial,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Justeru, beliau menggesa kerajaan agar lebih tegas untuk mengawal perkara tersebut.

“Hal demikian supaya kita boleh menjaga anak-anak dan generasi akan datang ini agar mereka tidak berdepan dengan kerosakan jiwa, akhlak dan moral yang tidak menentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024

Ulasan