Perlis siap siaga gelombang kedua air pasang besar



Perlis siap siaga gelombang kedua air pasang besar
October 9, 2024

KANGAR: Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, pelbagai agensi di negeri ini bersiap siaga menghadapi gelombang kedua air pasang besar yang dijangka melanda pada 16 dan 17 Oktober.

Ketinggian air beritahunya, diramalkan mencecah 3.7 meter, lebih tinggi daripada paras 3.4 meter yang berlaku baru-baru ini.

Che Murad berkata, operasi bantuan bencana melibatkan pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) serta bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita telah bersiap sedia berdasarkan ramalan terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Penduduk di Perlis perlu lebih berwaspada dan tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berpindah,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.

Beliau juga menekankan kepentingan penyelenggaraan sistem perparitan yang baik untuk mengelakkan banjir kilat, terutamanya di kawasan yang cenderung menghadapi masalah saliran tersumbat.

Ujarnya, usaha telah dijalankan untuk memastikan longkang dan parit diselenggara dengan baik, terutama di kawasan-kawasan kritikal seperti Sungai Kangar, Arau dan Kampung Bakau.

Walaupun keadaan banjir di Perlis tidak seteruk di sesetengah negeri lain, dengan paras air hanya setinggi lutut, Che Murad mengakui, situasi ini masih menjejaskan aktiviti harian penduduk.

Beliau turut berkata, Lencongan Banjir Barat banyak membantu mengurangkan kesan banjir kali ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar bersedia menghadapi gelombang banjir yang mungkin lebih serius pada tarikh-tarikh tersebut, dan bantuan akan terus disalurkan termasuk makanan dan keperluan lain kepada mangsa banjir.

“Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga awal untuk memastikan semua pihak, termasuk orang awam, berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

Ulasan