Pertuduhan dihadapi Najib tidak cacat, sah di sisi undang-undang - Hakim

Pertuduhan dihadapi Najib tidak cacat, sah di sisi undang-undang - Hakim
30 Oktober 2024 10:13am
Masa membaca: 2 minit

Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah di sini pada Rabu memberitahu bahawa empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram libat wang sama membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak cacat.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata demikian ketika membaca keputusan kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu, dalam prosiding yang bermula jam 9.24 pagi.

Menurutnya, pertuduhan yang dihadapi Najib, 71, sah dari segi undang-undang dan tidak mengelirukan, samar-samar mahupun prejudis.

“Saya dapati pertuduhan itu memenuhi semua kriteria undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah mendapati, tertuduh tidak ‘terpedaya’ dengan tuduhan itu,” kata hakim itu.

Selain itu, beliau berkata, mahkamah berpendapat, tiada motif jelas bagi saksi utama pendakwaan memberi keterangan terhadap Najib dalam skandal kewangan syarikat strategi negara itu.

Saksi-saksi utama itu termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Menurutnya, Jasmine dan seorang lagi saksi, mengaku menerima dana daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low sementara Shahrol menerima gaji serta bonus.


“Zeti dan ahli keluarganya turut dikaitkan dengan kes ini, namun mahkamah menegaskan saksi-saksi tersebut tidak berdepan undang-undang, yang boleh menjejaskan kes,” katanya.

Ketika ini, beliau masih membacakan dapatan kes sejak jam 9.24 pagi dan belum memutuskan sama ada Najib perlu dibela diri atau dilepaskan daripada semua pertuduhan.

Ulasan