Polemik T15: Kemuncak ‘falasi’ ekonomi Madani



Polemik T15: Kemuncak ‘falasi’ ekonomi Madani
October 28, 2024

KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), Mohd Syahir Che Sulaiman menyifatkan polemik berkenaan pengkelasan isi rumah T15, dan terbaharu T10 yang timbul pasca pembentangan Belanjawan 2025, adalah kemuncak ‘falasi’ dasar ekonomi Madani.

Ahli Parlimen Bachok itu membidas kebiasaan yang dilihat sudah menjadi budaya pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan jemaah Menteri, di mana suatu amalan ‘umum dahulu, kaji kemudian’, melibatkan pelbagai dasar dan polisi kerajaan.

“Sewajarnya, setiap perancangan dan formulasi dasar hendaklah berpandukan kepada ketepatan data, proses libat urus yang meluas, semakan realiti (reality check) di bawah, serta daya empati yang tinggi di pihak Kerajaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mencadangkan supaya data Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai pendapatan, perbelanjaan, tanggungan, dan lokaliti digunakan dalam merangka dasar subsidi yang lebih efektif.

Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS dan Penolong Setiausaha Agung PAS itu berkata, langkah dicadangkan itu dianggap lebih baik berbanding bergantung pada data peribadi yang terkumpul di pangkalan PADU dan BUDI.

Selain itu jelas beliau, proses libat urus hendaklah dijalankan dalam kalangan masyarakat, pekerja, majikan, dan peniaga supaya data yang diperolehi menepati realiti kehidupan rakyat dan peniaga.

Malah menurutnya, ada baiknya jika dapat diluncurkan projek perintis (pilot project) supaya keberkesanan program teruji, bagi mengelak pelaksanaannya tergendala di kemudian hari.

“Namun pada hemat saya, penyasaran subsidi hendaklah bermula dengan pemulangan royalti. Kembalikan 5 peratus hak Terengganu dan Kelantan yang dinafikan selama ini supaya ekonomi Malaysia beroleh keberkatan, perbetulkan kitaran. Jernih di hulu, jernih di hiliran,” katanya.

Terdahulu, kerajaan dilaporkan belum memuktamadkan kategori golongan yang akan dikecualikan daripada subsidi, termasuk subsidi petrol, dan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kategori T15 kepada T10 atau T5.

Dato’ Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa penetapan itu perlu teliti agar lebih 85 peratus rakyat tidak terkesan, walaupun terdapat perdebatan mengenai takrifan T15 dalam Belanjawan 2025.

Media tempatan dalam pada itu turut melaporkan Kementerian Ekonomi sedang memperincikan kumpulan T15 bersama Kementerian Kewangan, dengan takrifan berasaskan lokaliti dan pendapatan boleh belanja bersih, untuk memastikan ketepatan dalam pengelasan subsidi.

Langkah itu menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bertujuan mengelakkan ketidakadilan akibat takrifan secara pukal, terutama dalam isu subsidi untuk golongan berpendapatan tinggi di kawasan kos hidup rendah. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

Ulasan