Ronald imej inklusif Bersatu



Ronald imej inklusif Bersatu
RONALD KIANDEE
Oleh ASLINDA NASIR
19 Oktober 2024, 6:40 am


PEMILIHAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sesi 2024-2027 dianggap sengit berikutan jawatan Naib Presiden direbut enam pemimpin termasuk ‘senarai’ Presiden. Penyandang bagi jawatan tersebut, DATUK SERI RONALD KIANDEE sekali lagi mempertaruhkan jawatan sama buat kali kedua dan menyerahkan mandat kepada perwakilan untuk menilai rekod serta prestasinya sebelum ini.

Berbanding calon lain, Ronald mungkin dilihat mempunyai kelebihan kerana satu-satunya pemimpin Sabah yang bertanding, sekali gus mampu memberi pengaruh pada Pilihan Raya Negeri ke-17(PRN17) Sabah tahun depan.

Dalam merebut antara tiga Naib Presiden Bersatu itu, Ronald menjelaskan mengapa dirinya perlu mengekalkan jawatan tersebut. Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR yang dibantu jurufoto, AMIR KHALID.


FORMULA SENARAI PRESIDEN
Formula diketengahkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan formula yang dikehendaki Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), dimulakan dengan satu retreat Majlis Tertinggi dan kita mencapai hala tuju parti bagi menghadapi cabaran termasuk mengelakkan perbalahan menjelang pemilihan.

Antara intipati formula adalah menamakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Naib Presiden, saya dan Datuk Dr. Radzi Jidin kekalkan jawatan. Bagaimanapun, tiada halangan untuk mana-mana ahli bertanding. Kalau tengok antara barisan yang presiden umum sebagai formula dan diterima sewaktu konvensyen, perkara itu tidak bertentangan dengan proses pemilihan parti dan sekali lagi, ia adalah sebahagian daripada keputusan kita juga.

CALON NAIB PRESIDEN KALI KEDUA
Kita mesti yakinkan pengundi khususnya yang melihat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti yang perlu disokong, mengangkat perjuangan Melayu bumiputera. Sebab itu dalam tempoh tiga tahun akan datang merupakan tempoh mencabar serta kritikal dalam membawa dimensi dan idealisme parti untuk mengorak langkah ke depan. Kta perlu lebih banyak turun ke peringkat akar umbi bagi meyakinkan pengundi dan menjadikan Bersatu sebagai sebuah parti yang boleh mengangkat hasrat serta aspirasi rakyat.


Dasar dan idealisme yang akan menjadi pegangan parti ini selama-lamanya sebagai wadah perjuangan Melayu dan bumiputera. Ini kali kedua saya bertanding Naib Presiden bagi mempertahankan kerusi ini, saya yakin Bersatu merupakan parti yang diterima semua masyarakat termasuk orang Melayu, bumiputera, Sabah dan Sarawak.

Perwakilan tidak terikat untuk memilih mana-mana calon, tetapi saya yakin perwakilan akan pilih yang terbaik dengan melihat kepada rekod kepimpinan kerana setiap dari kita mempunyai kekuatan masing-masing dan perwakilan akan menilai calon yang bertanding.

KERJASAMA DALAM PRN SABAH
Kita pernah menang di Sabah pada PRN lalu dan Bersatu meletakkan beberapa calon, menang di 11 kawasan. PN bersama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya membentuk kerajaan dan mengangkat pimpinan Bersatu sebagai Ketua Menteri. Itu sejarah.

PN bermula di Sabah, selepas itu kita bawa logo dan panji PN di negeri lain. Sabah merupakan tempat lahir PN, selepas pilihan raya umum (PRU) lalu kita ditinggalkan set kepimpinan itu apabila ditinggalkan Datuk Seri Hajiji Noor yang merupakan Ketua Menteri ketika itu. Sebab itu Bersatu Sabah melalui proses ketidaktentuan. Mujur berjaya bangkitkan semula semangat Bersatu dengan set kepimpinan baharu. Rakan-rakan kita bina semula set kepimpinan di 25 bahagian diterajui Bersatu di kawasan Parlimen. Bila Hajiji beralih, kita tinggal tiga sahaja iaitu Beluran, Kudat dan Kinabatangan.

Jadi 24 bahagian diwujudkan semula set kepimpinan baharu, sekarang ada 200 cawangan di 24 bahagian.

Untuk sekarang, tiada keperluan dan tiada sebarang perbincangan antara Bersatu Sabah dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah). Kita akan bertanding di bawah bendera PN dengan beberapa parti lain termasuk Gerakan (Parti Gerakan Rakyat), Pas, SAPP (Parti Maju Sabah).

CALON KETUA MENTERI
Kita akan tentukan selepas PRN, tentunya PN Sabah mempunyai barisan kepimpinan. Untuk kali ini, kita lebih kepada rejuvenasi parti dan kepimimpinan dengan sebahagian besar pemimpin ini berpotensi untuk memimpin Sabah. Namun, (perlu lihat) berapa banyak kita menang dan itu akan dilihat terlebih dahulu.

SABAH FOR SABAHAN?
Itu naratif politik yang dimainkan di Sabah. Ia tidak semestinya diterima pengundi di sana. Sehingga hari ini, slogan itu masih tidak berjaya menguasai kerajaan negeri sebagai parti solo. STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) memainkan naratif yang sama tetapi ketika mereka bertanding menggunakan logo sendiri, hanya menang dua kerusi sahaja. Sekarang bertanding enam kerusi menjadi kebiasaan di Sabah. Parti asas Sabah for Sabahan itu hanyalah bersandarkan sentimen kenegerian, tetapi naratif ini tidak nampak hasil ketara dalam pencapaian.

Secara dasar, Sabah terbuka kepada politik nasional dan bukan politik kenegerian, tetapi apa yang lebih penting adalah kepimpinan yang kompiten serta berjaya mengangkat masalah rakyat untuk diselesaikan. Malah, kita tidak boleh lari dari politik nasional dan perlu meletakkan Sabah sedekat-dekatnya dengan kepimpinan di peringkat nasional.

SOKONGAN BUKAN MELAYU
Bila saya duduk di kerusi Naib Presiden Bersatu ini, saya memperoleh undi terbanyak dan saya bukan muslim. Ini menunjukkan Bersatu sebuah parti yang inklusif dengan tetap memberi ruang kepada bukan Islam untuk menduduki jawatan Naib Presiden yang dipilih perwakilan. Imej inklusif ini harus ditunjukkan kepada masyarakat yang memperlihatkan parti ini ini sangat memberi ruang kepada semua kaum dan juga boleh dijadikan wadah untuk mereka.



Saya percaya parti ini asas dan prinsipnya adalah untuk semua kaum, sebab itu saya berani tawarkan kali kedua untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Dalam isu ini, kita ada Bersekutu, meskipun sayap ini belum menampakkan pencapaian menang dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, tetapi sayap bukan Melayu ini mula diterima. Saya memberi komitmen untuk meningkatkan kepimpinan Bersekutu bagi menarik lebih banyak sokongan masyarakat.

BERSATU BERSIFAT PERKAUMAN?
Apa beza UMNO? Itu hanyalah kenyataan politik, apa beza pula dengan DAP yang menyatakan mereka ialah parti berbilang kaum tetapi naratifnya sama dengan UMNO? Bersatu ada pimpinan tertinggi bukan Islam, malah dalam PN kita ada Gerakan dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia). Jadi pada saya, ia hanyalah kenyataan politik semata-mata.

Dari segi imej, Bersatu dan Pas berbeza tetapi kami mempunyai persefahaman yang sama di bawah panji PN dan terbukti dalam PRU lalu, rakyat memberi sokongan jitu apabila PN menang 74 kerusi dan kami juga memimpin kerajaaan negeri di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis. Secara umumnya, saya yakin orang Melayu dan bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya menaruh keyakinan kepada kami. Saya yakin kalau kita terus berpijak pada perjuangan yang sama, kita akan menang pada PRU akan datang.

Sebab itu penting untuk perwakilan memilih set kepimpinan yang berpegang kepada prinsip dan perjuangan parti. Saya yakin idealisme yang dilakarkan presiden harus diturunkan ke peringkat akar umbi agar lebih ramai rakyat tahu tentang perjuangan Bersatu.

MENANG KERANA GELOMBANG
Bersatu perlu perkukuhkan kekuatan sehingga ke peringkat akar umbi supaya tidak menang hanya kerana gelombang. Kalau harapkan gelombang sahaja, gelombang akan reda, jadi kita harus bina kekuatan yang utuh dan konsisten. Dalam membina parti yang kuat, kita perlu turun ke bawah untuk besarkan parti melalui pembentukan cawangan di peringkat bawah dan itu asas untuk parti mengukuhkan kedudukan. Jika tidak, kita akan jadi parti yang hanya mengikut gelombang. Contohnya DAP, mereka tidak mempunyai banyak cawangan tetapi ada 20 kerusi dan itu adalah mentaliti penyertaan politik di bandar.

Kita sebagai parti yang lebih fokus di luar bandar, perlu kukuhkan cabang dan cawangan. Bersatu ini bukan parti ‘rumah inap’ tetapi ‘rumah untuk didiami’, bukan untuk ‘daftar masuk’ dan ‘daftar keluar’.-UTUSAN

Ulasan