Saya lebih suka menteri UMNO tiada dalam Kabinet – Ku Li
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ketika ditemu bual Mingguan Malaysia di kediamannya di Ampang, baru-baru ini. - FAUZI BAHARUDIN
Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
13 Oktober 2024, 6:50 am
MUKADIMAH
TAN SRI TENGKU RAZALEIGH HAMZAH mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa, sekali gus meneruskan dominasi parti Melayu Islam dalam negara seperti dahulu. Namun, pandangan beberapa pemimpin yang formula terbaik menang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah kerjasama rapat di antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Veteran UMNO yang mesra dipanggil ‘KU LI’ tidak pula menjelaskan pendirian, sebaliknya mahu dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Dalam wawancara bersama Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, jurukamera, FAUZI BAHARUDDIN dan juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN di Jalan Langgak Golf, baru-baru ini, beliau akui peranan parti semakin terhad di dalam Kerajaan Perpaduan.
Bekas Ahli Parlimen Gua Musang merangkap bekas Menteri Kewangan itu sempat bercerita tentang sifat kepemimpinan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh walaupun ada yang menganggapnya berlagak ‘samseng’. Benarkah?
MINGGUAN Malaysia: Bagaimana Tan Sri melihat perkembangan politik negara?
TENGKU RAZALEIGH: Politik sekarang nampak stabil kerana tiada perbalahan, tiada usaha merebut kuasa atau menjatuhkan kerajaan seperti yang berlaku selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu.
Namun, keadaan politik rasanya tiada beza antara dahulu dengan sekarang. Cuma, kini masing-masing mahu stabilkan keadaan politik negara supaya kita dapat beri peluang kepada rakyat untuk bekerja dan berniaga.
Sungguh pun ada usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan, tetapi, tiada petanda mengatakan pelaburan mulai dirasai rakyat kerana masih ramai golongan muda dari sekolah dan universiti belum ada pekerjaan.
Mungkin berlaku peningkatan masalah sosial bukan kerana mereka jahat, tetapi keadaan hidup susah dengan kos sara hidup semakin tinggi. Jadi, nampaknya tiada sedikit pun kelegaan pada rakyat. Untuk pegawai kerajaan, dapatlah tawaran kenaikan gaji, tetapi di sektor swasta belum ada peningkatan kerana pertumbuhan ekonomi masih di takuk sama.
PERANAN UMNO ‘TIDAK SEBERAPA’
Bagaimana Tan Sri melihat masa hadapan UMNO di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan?
UMNO biasanya mendominasi kehidupan rakyat negara ini, tetapi, sekarang parti tidaklah ‘seberapa’ kerana pemimpin UMNO tiada celah atau ruang atau pengaruh dan kedudukan yang boleh digunakan untuk membantu dalam perubahan yang dikehendaki rakyat. Oleh itu, saya melihat pemimpin UMNO yang menyertai kerajaan hanya menjalankan tugas setakat yang mampu.
Tidak seberapa?
Ya, UMNO tidak lagi berperanan lebih besar. Dulu berperanan secara rasmi kerana lantikan kepada jawatan tertentu yang membekalkan kuasa lalu memberi kita kapasiti bertindak membantu rakyat secara langsung.
Tetapi, sekarang UMNO bukan sahaja tiada peranan, tetapi, agensi-agensi kerajaan pun tidak wujudkan jawatan bagi membolehkan kita membantu usaha kerajaan. Maknanya, UMNO berperanan sekadar pemerhati, mengeluarkan pandangan menerusi mesyuarat parti dan bersama rakyat. Itu sahajalah UMNO boleh lakukan.
Bagaimana prestasi menteri-menteri UMNO di dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan?
Prestasi menteri UMNO juga nampak terhad. Peratusan mereka melibatkan diri dalam aspek politik dan sosial pun sama. Tidak seperti yang dilakukan UMNO dahulu yang mana kita bersama-sama naik. Kerja-kerja kerajaan dijalankan. Jika ke sesuatu tempat atau ada masa lapang kita tumpu soal masyarakat yang tiada kena mengena dengan kerajaan secara langsung.
UMNO seperti backbencher lah?
Samalah itu (tertawa). Saya walaupun bukan lagi ahli Parlimen, tetapi seperti backbencher juga mengeluarkan pandangan setakat yang boleh untuk bantu dalam gerakan kerajaan. Tetapi, setakat di situ sajalah.
LEBIH BAIK TIADA DALAM KERAJAAN
Menteri UMNO mana Tan Sri fikir terbaik dan cemerlang?
Jika diberi pilihan, saya lebih suka mereka ini tiada dalam kerajaan. UMNO menjadi parti bebas bertindak. Tidak perlu ada di dalam Kabinet, namun kita masih boleh menjadi sebahagian daripada gabungan. Sekarang pun kita hanya ada tiga menteri yang memegang jawatan penting dalam pemerintahan negara. Tetapi, peranannya amat terhad. Menteri Luar, Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Pertahanan apalah sangat hubungannya dengan rakyat? Hubungan langsung dan pengaruh tiada, seolah-olah UMNO tiada dalam kerajaan pun.
DOMINASI UMNO
Bolehkah UMNO menjadi parti dominan semula?
UMNO boleh menjadi dominan jika asasnya ramai rakyat terima. Tetapi, untuk membolehkan rakyat menerima UMNO, maka penerimaan orang ramai terhadap perjuangan parti mesti jelas, dapat dibuktikan dengan cara yang menyenangi orang ramai. Caranya adalah melalui kemenangan dalam pilihan raya.
Jika UMNO mempunyai banyak kerusi di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti dahulu, jelas sekali orang ramai terima UMNO, tetapi jika hari ini keadaannya turun naik, sokongan itu tidak bermakna dan tidak boleh kata sudah ada percubaan untuk rakyat kembali kepada UMNO. Sebelum ini kita berdepan tiga pilihan raya kecil (PRK) dan BN-UMNO menang, tetapi, ia tidak boleh membuktikan kita sudah menang dengan besar hanya kerana rakyat balik kepada kita.
Maksudnya langkah kembali sokong UMNO belum kelihatan?
Belum lagi.
Siapa pemimpin pelapis UMNO Tan Sri rasa sesuai menerajui kepimpinan parti selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi?
Saya tidak tahu. Ini terpulang kepada PAU.
Takkan Tan Sri tidak membuat penilaian sendiri?
Saya mahu melihat orang baharu tetapi tidak bermaksud orang lama ini tidak baik. Tunjukkanlah orang baharu supaya menjadi pelapis, boleh diasah sebagai pemimpin parti rakyat boleh letak harapan kepada golongan ini.
Kepimpinan yang ada sekarang bakal habis tempoh perkhidmatan sebagai pemimpin, maka, inilah barisan baharu yang akan ambil alih nanti. Jika UMNO yakin dengan orang baharu diberi tempat dan latihan, mungkin sokongan kepada parti menjadi lebih hebat lagi.
Siapa orang baharu itu?
Saya tidak bolehlah beri nama individu sebab saya tidak berapa kenal.
PILIHAN RAYA
UMNO menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri lalu dan Tan Sri mengatakan kemenangan itu tidak boleh dijadikan ukuran orang Melayu kembali menyokong parti itu. Dalam PRK DUN Mahkota, apakah Tan Sri masih berpandangan sama?
Ya. Kita tidak boleh pandang dari sudut kemenangan, kena pandang dari sudut sejauh mana rakyat menerima atau menolak UMNO? Jika kita buat demikian, kita dapat beza kedudukan parti sekarang dengan dahulu baru kita insaf dan boleh baiki kelakuan dan personaliti yang boleh menjejaskan pandangan rakyat.
Boleh ulas lanjut?
Saya mungkin prejudis kerana saya adalah UMNO dan orang lama tetapi, saya lihat orang Melayu meletakkan harapan tinggi kepada parti. Jika saya ke mana-mana berjumpa orang ramai, mereka masih ingat kepada UMNO. Tetapi, saya sering kali ingatkan mereka bukan sekadar mahu bantuan kerana mereka sudah rasa kesan daripada pelaksanaan dasar yang ditonjol UMNO.
PRK DUN Mahkota dikatakan sebagai kemenangan hatrik apabila berjaya mengungguli siri PRK sebelumnya. Benarkah?
Saya tidak fikir begitu.
Apa persediaan UMNO menang dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan menyusul selepas ini seperti di Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak?
UMNO kena bekerja keras menambah kerusi yang dipertanding. Rakyat juga mahu tahu apakah UMNO bertanding atas nama Pakatan Harapan (PH) atau BN? Perkara ini mesti dibawa dalam mesyuarat parti atau Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Pemimpin UMNO tidak boleh memandai-mandai buat keputusan. Hal ini mesti jelas supaya rakyat dapat menilai apakah sikap dalam kalangan pemimpin UMNO di dalam perjuangan ini?
PEMIMPIN MELAYU EGO
Banyak parti politik Melayu berpecah. Mengapa sukar sepakat untuk penyatuan orang Melayu?
Masing-masing ada ego dan merasa layak menjadi perdana menteri. Perebutan ini bukan lagi soal parti mana yang patut mendominasi negara, tetapi, siapa menjadi perdana menteri?
GOLONGAN MUDA
Bagaimana Tan Sri melihat sikap orang muda Melayu selepas pemergian ramai golongan pemikir lama?
Saya risau juga kerana melihat orang muda seperti tidak ambil peduli, tidak beri tumpuan sepenuhnya kepada politik masa hadapan. Jika benarlah ini sikap orang muda, saya bimbang, tetapi saya berharap tidak benar kerana politik masa hadapan sangat kompleks dengan keadaan dalam negara kita, apa yang sedang dibicara dalam forum-forum antarabangsa, perebutan kuasa dunia di Rusia dan komunis China serta Amerika Syarikat (AS).
Ini semua menjadi masalah besar dan ditonjol pula dengan idea one- world government yang dimainkan oleh orang kaya-raya yang dapat mempengaruhi pemerintah. Jadi, ini semua keadaan yang mesti beri kesedaran kepada orang muda kerana mereka bakal menghadapi masalah ini dengan lebih hebat pada masa hadapan. Sama ada kita tenggelam atau tidak, bergantung kepada macam mana cara kita mengolah perkara itu.
PERANGAI KETUA PEMUDA UMNO
Bagaimana Tan Sri melihat ciri ciri kepimpinan pada Dr. Muhamad Akmal sebagai Ketua Pemuda UMNO?
Beliau mahu menghidupkan semangat Pemuda dan nampaknya Muhamad Akmal sudah berjaya menonjolkan watak Pemuda di dalam UMNO. Itulah sebabnya saya memihak kepada beliau apabila berlaku pertelingkahan antaranya dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkenaan isu pensijilan halal.
Bukan saya memandang daripada sudut perkauman, tetapi apa diucap oleh Muhamad Akmal selari dengan perjuangan parti. Tetapi, sejauh mana beliau menguasai alam politik di dalam dan luar UMNO dengan taktik serta strategi dibawa Pemuda itu, wallahu’alam. Beliau pun baru lagi jadi berilah masa. Saya percaya beliau ada masa depan lebih baik dan cerah.
LAGAK SAMSENG
Tan Sri bercakap begini walaupun ada pandangan Muhamad Akmal berlagak seperti samseng?
Saya tidak tahulah. Ini terpulang kepada pemerhatian orang awam. Tetapi, saya yakin beliau bakal menjadi pemimpin hebat.
Tan Sri terima sikap seperti itu?
Beginilah ya, apa yang beliau cuba lakukan mahu membawa sayap Pemuda ke satu peringkat supaya orang ramai ikuti. Sejak kepemimpinan sayap Pemuda dahulu lagi pun, tiada yang seperti beliau. Daripada kepimpinan Datuk Harun Idris sehinggalah ke Khairy Jamaluddin ketika itu sayap Pemuda UMNO seolah-olah tidak wujud dalam kalangan UMNO.
KERJASAMA BN-PH
Mampukah UMNO-BN bertanding solo dalam PRU tanpa perlu meneruskan kerjasama PH-DAP?
Sesetengah orang setuju dan sebaliknya. Ada mempertikai apakah perlu sokong kepada kerjasama PH? Perkara ini mesti dibincang dalam PAU. Banyak aspek perlu diberi perhatian.
Tan Sri mahu apa?
Saya? Sudah tentulah saya mahu UMNO berkuasa (tertawa). Saya pernah pesan dahulu, kita mahu berkongsi kuasa dengan rakan yang menerima negara ini sebagai negara mereka dan sanggup menumpahkan seluruh taat setia kepada Malaysia. Itulah bentuk kerjasama yang saya mahu hidupkan.
Jika masih dalam barisan kepimpinan UMNO, Tan Sri sanggup bekerjasama dengan DAP?
Ini bukan soal individu. Ini soal orang ramai dan terpulang kepada parti. Kalau pun saya mahu tetapi parti tidak setuju, tidak boleh juga. Mesti ikut suara majoriti.
REFORMASI
Bagaimana Tan Sri melihat reformasi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan?
Adakah reformasi itu? Sembang sahaja (tertawa). Apa yang dilaungkan beliau dahulu hanya kerana marah pada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana ‘belasah’ dan tangkap beliau.
Maka, wujudlah reformasi dan orang ramai setuju dengan laungan ini. Maka, keadilan patut diberi kepadanya.
Tetapi, mahu buat reformasi lebih daripada itu belum pun dilakukan. Lihat sekarang apa yang Anwar buat? Satu undang-undang dan peraturan pun tiada untuk reformasi. Ini bukan sayalah yang kemuka, sebaliknya ramai pihak tanya di mana reformasi itu?
Katanya ambil masa tetapi sudah lebih dua tahun sejak menyandang jawatan perdana menteri. Dari zaman Mahathir menjadi perdana menteri dua kali dan BN tumbang tiada pun dalam catatan cara-cara membawa reformasi.
Undang-undang yang bagaimana baharulah dianggap reformasi?
Saya tanya anda semula, kuasa Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya, apakah mesti peguam negara menjadi penasihat kepada kerajaan atau menjadi pendakwa di mahkamah? Yang boleh dilakukan atau ada dua AGC atau satu bahagian yang menasihati kerajaan dan satu lagi mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang disabit bersalah. Itu pun tidak dilakukan.
Ada lagi yang lain?
Banyak lagi undang-undang. Tetapi janganlah saya yang beritahu. Orang yang buat reformasilah patut mulakan.
Tan Sri seperti mengarah kepada kes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) presiden UMNO dalam pertuduhan di mahkamah. Benar?
Oh, yang DNAA itu? (Tertawa). Iyalah. Ada seorang ahli Parlimen PKR mempersoal apakah kita (PKR) ini parti yang benar-benar memperjuang reformasi, tetapi kita mengamalkan dua darjat? Kita mahu melawan dan menghapus rasuah, pada masa sama mahu mempertahan orang yang dituduh melakukan rasuah?
Tidakkah ini bercanggah dengan perjuangan parti? Adakah kita guna kuasa dan kedudukan semata-mata menjaga kepentingan diri dan bukan kepentingan rakyat? Dari situ kita sudah salah. Ingat, ini bukan saya cakap tetapi pemimpin PKR sendiri.
Adakah kita perlukan laungan baharu selain reformasi?
Tiada kena mengena dengan saya. Orang ramai selalu laung reformasi, apabila sudah berkuasa, baikilah sistemnya. Bawalah reformasi sebagaimana dikehendaki masyarakat.
Siapa bakal Perdana Menteri seterusnya?
Saya tidak tahu dan tiada ramalan. Saya memang tiada minat dalam soal ini. Elok tanya ‘orang atas’. (Tertawa)
Tadbir urus negara kini lebih baik? Bukan kita persoal baik atau tidak. Tetapi, Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau yang memberi janji tetapi tidak dibuat padahal sudah ada kuasa, maka lakukanlah. ‘
Saya tidak pertikai ya, ini orang ramai soal dan saya hanya bangkitkan. Saya berasa aneh sebab UMNO menyokong beliau menjadi perdana menteri, tetapi, parti tidak menjadi sebahagian daripada parti berkuasa. Dengan bilangan 30 ahli Parlimen UMNO sokong beliau atas kehendak Presiden, maka kita seolah-olah bersama dalam Kerajaan Perpaduan. Tetapi, hanya sebilangan kecil sahaja menteri daripada UMNO.
HUTANG
Pengurusan hutang negara bagaimana? Adakah perlu diperdebat?
Ya mesti. Hutang negara perlu dibahas setiap kali pembentangan belanjawan ke Parlimen. Hutang negara mesti diperinci oleh setiap pemerintah kerana akhirnya, rakyat yang akan bertanggungjawab menjelaskan faedah ke atas hutang yang diambil banyak oleh kerajaan. Saya tahu sangatlah kerana saya pun pernah jadi menteri kewangan dahulu.
BELANJAWAN 2025
RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025 bakal dibentang di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini. Apa jangkaan dan harapan Tan Sri?
Negara berhutang RM1.6 trilion, barangkali tidak termasuk kontinjen liabiliti oleh kerana kerajaan banyak keluarkan surat jaminan untuk pinjaman dalam tempoh lima hingga 20 tahun mengikut jangkaan yang diterima. Macam-macamlah seperti Felda, jentera kerajaan, elektrik dan sebagainya.
Ini semua pinjaman jangka masa panjang. Ini semua mesti dijelaskan di Parlimen kerana hutang terlalu banyak, manakala hasil negara pula tidak banyak yang dipungut kerana ekonomi tidak berkembang, malah banyak syarikat berdepan masalah kewangan. Maka, tidak dapat buat untung besar.
Jika mahu ambil cukai pun tidak boleh ambil banyak. Mahu menambah cukai baharu dibimbangi membebankan rakyat sebab itu kerajaan mesti berhati-hati di samping menjana pendapatan membayar hutang lama dan faedah, kerajaan juga perlu tambah hasil daripada sudut lain supaya hasil pertambahan itu tidaklah menjadi punca sehingga membebankan rakyat. Saya tahu, ini tidak mudah dilakukan.
Apa tumpuannya?
Kementerian Kewangan sudah ada cadangan menukar sebahagian daripada sistem cukai supaya memberi peluang kepada kerajaan untuk menambah hasil dengan cukai baharu yang boleh diperkenal.
Kita tidak tahu apa yang dicadang, biasanya, mengikut pengalaman saya, jika kerajaan menurunkan kadar cukai untuk sesuatu sektor, kerajaan kena ganti lain. Jika tidak, jumlah yang terpaksa ditanggung akan merugikan kerana tidak kutip hasil menjadi terbuka begitu sahaj dan tiada penambahan daripada hasil. Lagi teruk. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan