Tangani kanak-kanak genius dengan bijaksana

Tangani kanak-kanak genius dengan bijaksana
JANGAN ada diskriminasi terhadap kanak-kanak genius hanya kerana umur mereka yang muda dan IQ mereka lebih tinggi daripada pelajar lain.
Oleh Meja Rencana
14 Oktober 2024, 9:00 am

MASIH ingatkah kita pada Sufiah Yusof dan Adi Putra Abdul Ghani? Kedua-duanya merupakan kanak-kanak genius dalam bidang matematik semasa mereka masih kecil lagi dan telah mendapat liputan meluas media suatu ketika dahulu.

Dengan kepintaran dan kebolehan mereka menyelesaikan masalah matematik kompleks peringkat tinggi, ramai yang meramalkan bahawa mereka akan menjadi seseorang yang terkemuka suatu hari nanti seperti Albert Einstein ataupun Stephen Hawking. Entah di mana silapnya, ramalan tidak menjadi kenyataan.

Baru-baru ini, muncul seorang lagi kanak-kanak genius, Izz Imil Shahrom, berusia 12 tahun, yang telah diterima masuk sebagai pelajar di Universiti Malaya. Persoalannya, bagaimana kita hendak menangani seorang lagi kanak-kanak genius agar tidak menerima nasib seperti mereka yang terdahulu.

Genius dalam akademik tidak semestinya genius dalam pergaulan. Jurang perbezaan umur mungkin akan memberi kesan pada pergaulan di universiti. Komunikasi berkesan adalah penting dalam sesuatu pergaulan terutamanya cara bagaimana seorang kanak-kanak berinteraksi dengan abang dan kakak yang telah mencapai umur layak mengundi.

Dalam melaksanakan tugasan berkumpulan dan projek berkumpulan bagi sesuatu subjek di universiti, kanak-kanak genius harus diterima sebagai ahli kumpulan yang sama taraf. Jangan ada diskriminasi terhadap kanak-kanak genius hanya kerana umur mereka yang muda dan IQ mereka lebih tinggi daripada pelajar lain.

Lindungi kanak-kanak genius daripada liputan media yang keterlaluan. Genius dalam matematik belum tentu dapat menjawab soalan-soalan media berbentuk menjerat, menjerut, mencekik dan memerangkap.


Sesetengah wartawan sangat genius dalam membentuk soalan-soalan serangan sedemikian hinggakan kubah besi pun tidak mampu menangkisnya.

Diharap ibu bapa, penaja, pihak berkepentingan dan pihak universiti tidak memberi tekanan tinggi dan terlalu mengongkong kanak-kanak genius kerana ini akan membawa kepada tekanan jiwa dan seterusnya kemurungan sekiranya mereka gagal mencapai objektif ditetapkan.

Ingatlah, walaupun pemikiran mereka maju jauh ke hadapan dalam bidang masing-masing berbanding kanak-kanak seusia mereka, secara biologikal mereka masih ingin merasai kehidupan seperti kanak-kanak sebaya.

Jangan mempergunakan dan memperkudakan kanak-kanak genius untuk kepentingan peribadi, misalnya menyuruh mereka menulis artikel daripada hasil usaha dan kajian mereka sendiri untuk disiarkan dalam jurnal ternama di mana nama ‘penunggang’ itu diletakkan sebagai penulis utama, diikuti oleh ‘pembonceng-pembonceng’ lain, yang mana ada di antara mereka bukannya pakar dalam bidang berkaitan pun.

Selalunya kita mahu kanak-kanak sama ada genius mahupun normal, menjadi seperti yang kita inginkan tetapi kita tidak pernah bertanya kepada mereka tentang apa yang mereka inginkan. Bila tiada persetujuan dicapai dan berlaku paksaan, maka sukar untuk mencapai objektif. Ini akan mendorong kepada berlakunya pemberontakan sama ada secara terang ataupun senyap. Seeloknya, duduk berbincang dari hati ke hati agar dapat mencapai situasi menang-menang.

Contoh sudah ada, pengalaman sudah ada, pakar semakin ramai dan teknologi paling terkini pun sudah ada. Sepatutnya kita tiada masalah untuk mendidik, membimbing dan membentuk kanak-kanak genius menjadi saintis terkemuka yang berpotensi untuk memenangi Anugerah Nobel suatu hari nanti. Jangan ulangi kesilapan yang lalu.

Tanganilah kanak-kanak genius dengan penuh bijaksana. Walaupun genius, mereka masih lagi manusia seperti kita, yang ada hati, jiwa, perasaan dan keinginan. – UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

Ulasan