‘Tiada janji pun wajib laksana tanggungjawab, apatah lagi berjanji’



‘Tiada janji pun wajib laksana tanggungjawab, apatah lagi berjanji’
October 23, 2024

Abdul Latiff Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengingatkan semua pihak bahawa menjadi pemerintah bukanlah tiket untuk menjadi sombong.

Beliau menegaskan, jangan beranggapan hanya pihak tertentu yang bekerja, kerana ada masanya berada di atas atau berkuasa, dan pastinya akan tiba masanya berada di bawah.

“Politik bukan sekadar janji tetapi perlu tunaikan janji. Sebagai sebuah kerajaan, jika tiada janji pun wajib laksanakan tanggungjawab, apatah lagi jika sudah berjanji.

“Bayarlah royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu kerana termaktub di dalam perjanjian pada tahun 1975.

“Berilah peruntukan kepada Ahli Parlimen kerana telah termaktub di dalam janji PRU ke-15,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Subsidi menghilang

Selain itu, beliau berkata, Belanjawan 2025 adalah yang terbesar dalam sejarah Malaysia, namun hanya bermanfaat jika benar-benar membantu rakyat.

Sebaliknya menurutnya, ia dilihat meluaskan cukai dan memansuhkan subsidi, menjadikannya mimpi buruk bagi rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun kerajaan menyasarkan subsidi, hakikatnya subsidi bahan api, barangan asas, dan elektrik dikurangkan dan ia meningkatkan kos sara hidup.

Terang beliau, Belanjawan 2025 turut memperlihatkan penyasaran subsidi pendidikan, kesihatan, dan RON 95 menjelang pertengahan 2025.

“Tentunya kita masih ingat suatu ketika dahulu ada seseorang sentiasa ada formula untuk turunkan harga minyak, tetapi yang anehnya hari ini orang yang sama sentiasa ada formula untuk menarik subsidi minyak meskipun beberapa kali diulang bahawa penyasaran ini hanya melibatkan golongan mahakaya dan masih melindungi 85 peratus rakyat.

“Namun hakikatnya peningkatan kos bahan api dan logistik akhirnya akan ditanggung oleh pengguna secara keseluruhan. akhirnya keseluruhan 85 peratus rakyat yang dikatakan dilindungi itu bakal menanggung harga akhir yang lebih tinggi,” terang beliau.

Beliau berkata, walaupun harga diesel turun naik, harga barang tetap tidak turun, malah terus meningkat, kos sara hidup melonjak, serta bebanan rakyat bertambah tanpa perubahan nyata.

“Siapa yang untung, siapa yang malang?” persoal beliau.

Walaupun katanya, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan ditingkatkan, perlu ditanya sejauh mana peningkatan itu dapat menyelesaikan masalah kos sara hidup penerima.

Menurutnya, kenaikan kos bahan api dan logistik dijangka akan meningkatkan harga barangan keperluan harian.

Itu juga jelasnya boleh menyebabkan inflasi, terutama dalam sektor yang bergantung kepada kos pengangkutan, seperti logistik dan peruncitan.

Krisis inflasi

Selain itu beliau berkata, kenaikan harga diesel dan petrol akan memberi kesan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada pengangkutan, termasuk penghantaran barangan dan perkhidmatan.

Jelas beliau, inflasi yang lebih tinggi akan mengurangkan kuasa beli rakyat, terutama golongan B40 dan M40, yang tertekan dengan peningkatan kos hidup.

Beliau menerangkan bahawa, jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin semakin melebar, di mana golongan berpendapatan tinggi mampu menampung kos kenaikan, tetapi golongan miskin terus merana.

“Janganlah kerajaan mengalami sindrom penafian dan buat lembu kenyang kerana hakikatnya kos sara hidup semakin meningkat.

“Jadi cadangan saya adalah agar pihak kerajaan mengkaji balik keputusan untuk penyasaran subsidi RON95 pertengahan tahun hadapan dan seeloknya menangguhkannya keputusan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024

Ulasan