Tujuh negeri tentukan siapa Presiden AS
Oleh Wartawan Luar Negara
30 Oktober 2024, 8:00 am
WASHINGTON: Naib Presiden, Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dan bekas Presiden, Donald Trump gigih berkempen menjelang dua minggu terakhir sebelum pilihan raya 5 November ini yang menyaksikan, salah satu pertandingan paling sengit dalam sejarah Amerika moden.
Di bawah Perlembagaan AS, setiap daripada 50 negeri akan mengadakan undian sendiri untuk memilih presiden baharu.
Di bawah sistem Kolej Pilihan Raya yang kompleks, setiap negeri mempunyai bilangan pemilih tertentu, berdasarkan populasi.
Dengan calon memerlukan 270 daripada 538 undi pemilih untuk menang, pilihan raya cenderung diputuskan di negeri penentu atau ‘swing state’ yang sentiasa menyaksikan pertarungan sengit dengan sejarah kemenangan berselang-seli antara calon Republikan dan Demokrat.
Pada tahun ini, terdapat tujuh medan pertempuran seperti itu dengan jumlah kolej pilihan raya berbeza.
Pennsylvania – 19 undian Kolej Pilihan Raya
Pennsylvania pernah menjadi kubu Demokrat tetapi kini sudah berubah hingga digelar kunci utama ke White House.
Trump dari Republikan berjaya memenangi medan pertempuran paling ramai penduduk itu, dengan dengan 0.7 mata mata peratusan pada 2016.
Presiden, Joe Biden kemudian merampasnya kembali dengan 1.2 mata peratusan pada 2020.
Terkenal sebagai bandar ‘Rust Belt’ seperti Philadelphia dan Pittsburgh, Pennsylvania terjejas selama beberapa dekad oleh kemerosotan berterusan pangkalan pembuatan perindustriannya.
Trump dan Harris berulang kali di negeri timur, di mana pasangan itu mengadakan satu-satunya perbahasan presiden mereka.
Trump terselamat daripada cubaan pembunuhan pada perhimpunan Julai di Pennsylvania selepas menyantuni penduduk kulit putih luar bandar dan memberi amaran tentang kebanjiran pendatang.
Harris pula memilih menggariskan rancangan untuk melabur AS$100 bilion (RM437 bilion) dalam pembuatan, isu utama bagi penduduk negeri itu.
Georgia – 16 undian Kolej Pilihan Raya
Negeri tenggara ini merupakan lokasi pemilihan paling kontroversi bagi Trump.
Pendakwa raya di Georgia mendakwa Trump dalam kes campur tangan pilihan raya selepas beliau memanggil pegawai negeri untuk menggesa mereka mencari undi yang mencukupi bagi membatalkan kemenangan tipis Biden pada 2020.
Tetapi sebagai dorongan untuk Trump, kes itu ditunda sehingga selepas pilihan raya.
Biden ialah Demokrat pertama yang memenangi Negeri Peach sejak 1992. Perubahan demografi mungkin memberi manfaat kepada Harris, yang telah memikat pengundi minoriti di seluruh Georgia.
Carolina Utara – 16 undian Kolej Pilihan Raya
Negeri tenggara ini mengundi Demokrat hanya sekali sejak 1980, tetapi Harris percaya mampu mengembalikan kepercayaan penduduknya.
Penduduknya kini mencecah lebih 10 juta, berkembang maju dan lebih pelbagai, memberi manfaat kepada Demokrat.
Merumitkan keadaan bagi Trump, skandal yang melibatkan calon gabenor Republikan di negeri ini menimbulkan kemarahan pegawai parti yang bimbang ia boleh menenggelamkan Trump dalam perlumbaan yang sengit.
Seperti di negara jiran Georgia, kemusnahan akibat ribut Helene yang melanda bandar-bandar di barat Carolina Utara, mungkin memberi kesan kepada undian.
Michigan – 15 undian Kolej Pilihan Raya
Trump merampas Michigan, bekas kubu kuat Demokrat dalam perjalanannya untuk mengalahkan Hillary Clinton pada 2016.
Biden mengembalikannya pada 2020, disokong oleh pekerja kesatuan sekerja dan komuniti kulit hitam yang besar.
Tetapi kali ini, Harris berisiko kehilangan sokongan 200,000 komuniti Arab-Amerika yang mengecam Biden kerana gagal menangani perang Israel-Hamas di Gaza.
Arizona – 11 undian Kolej Pilihan Raya
Negeri Grand Canyon ini menyaksikan antara perlumbaan paling sengit pada 2020, dengan Biden menang majoriti hanya 10,457 undian.
Trump berharap kekecewaan terhadap dasar imigresen pentadbiran Biden dan Harris akan mengubah Arizona yang berkongsi sempadan dengan Mexico untuk kembali memihak kepadanya.
Harris melawat sempadan Arizona pada September lalu berikrar untuk membanteras pendatang dan berusaha memulihkan rang undang-undang sempadan dua partisan tahun lepas yang menurutnya digunakan Trump untuk tujuan politik.
Wisconsin – 10 undian Kolej Pilihan Raya
Clinton kehilangan Wisconsin selepas memberikan negeri itu tempat yang luas semasa kempen 2016.
Seperti Michigan, ia adalah kisah berbeza apabila lawan Trump ialah Biden, yang menukar defisit 23,000 undi kepada margin kemenangan 21,000 untuk Demokrat.
Trump menganggap ia boleh dimenangi, dan partinya mengadakan konvensyen kebangsaan musim panas di negeri ini.
Nevada – 6 undian Kolej Pilihan Raya
Negeri dengan populasi 3.1 juta ini tidak mengundi Republikan sejak 2004.
Golongan konservatif, disokong oleh kemajuan Trump dengan pengundi Hispanik yakin mereka boleh mengubah perjalanan pilihan raya tahun ini.
Trump mendahului dengan ketara di sini berbanding Biden.
Tetapi dalam beberapa minggu selepas menjadi calon Demokrat, Harris mempromosikan rancangan ekonominya untuk membantu perniagaan kecil dan memerangi inflasi.
Usaha itu dilihat berjaya memadamkan kelebihan tersebut di negeri barat, dengan bandar terbesarnya di Las Vegas dikuasai oleh industri perhotelan.-AFP
Ulasan
Catat Ulasan