Universiti perlu timbang semula 'keghairahan' kepada perniagaan
Prof Datuk Dr Norzaini Azman - Oktober 9, 2024 @ 8:30am
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aswadi Alias
OKTOBER sangat bermakna kerana ia bukan sahaja Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan Bulan Kaunseling, bahkan kita baru sahaja meraikan Hari Akademia yang disambut 5 Oktober setiap tahun.
Pelbagai program berkaitan profesion akademik disusun untuk meraikan ahli akademik sepanjang bulan ini. Justeru, setiap ahli akademik perlu menghayati falsafah 'Menggapai ke Langit, Berpijak di Bumi' terutama dalam kalangan pemimpin akademik.
Kalimah 'langit' melambangkan keadaan susah dicapai, justeru digunakan sebagai ukuran kemampuan terbaik, manakala menggapai pula bermaksud menghulur tangan, mencari dan meraih.
Ia melambangkan arah penujuan, wawasan tinggi dan dipandang mulia, dijunjung serta disanjung, sesuatu dihasratkan setiap masyarakat berilmu dan bertamadun.
Disyorkan
Akar pula bermakna asal, tunjang dan warisan, sekali gus bahagian paling asas bagi pokok kerana menjalankan dua fungsi paling penting. Pertama, sebagai sokongan dengan cara menusuk dan mencengkam tanah untuk memastikan seluruh pohon, batang, daun, bunga dan buah stabil serta tidak jatuh.
Kedua, ia menyerap air dan nutrien diperlukan pokok bagi kelangsungan hayatnya. Bermula akar, seluruh bahagian pokok lain boleh berfungsi, membesar dan terus hidup dan melangsungkan hayatnya.
Bumi adalah rumah kepada jutaan spesies, termasuk manusia, tempat kita diami dan wajib diperjuangkan. Jika tiada bumi, tidak adalah kehidupan. Membumi bermaksud realiti dan konteks sebenar serta proses memasyarakatkan dan merealisasikan diri.
Mengakar ke bumi bermaksud jati diri, iaitu identiti nilai bangsa membolehkan kelangsungan kehidupan berbudaya manusia atau bertamadun. Mengakar ke bumi menunjukkan sikap dan perasaan jati diri teguh dan padu berlandaskan agama dan budaya.
Justeru, 'menggapai ke langit dan mengakar ke bumi' meliputi teras falsafah kebudayaan Melayu murni, memberi petunjuk atau cahaya kepada perjalanan masyarakat untuk mencapai sesuatu matlamat paling tinggi.
Falsafah dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjadi pendorong semua ahli akademik melakukan anjakan paradigma dari sudut pemikiran, tatakelola, nilai, adab dan usaha bagi melahirkan bangsa Malaysia berintegriti tinggi serta dihormati seluruh dunia.
Falsafah 'menggapai ke langit, berpijak di bumi'
Kembali kepada sambutan Hari Akademia dan penerapan falsafah 'menggapai ke langit, berpijak di bumi' apakah pembaharuan boleh dilaksanakan institusi dan ahli akademik di negara ini?
Jika kita tergelincir dari landasan, eloklah kembali ke pangkal jalan. Kita perlu memberikan penekanan kepada kualiti graduan dan kecemerlangan ahli akademik.
Kualiti graduan membolehkan mereka berupaya menyumbang di mana-mana sahaja walaupun cabaran perubahan senario pekerjaan menjadi semakin getir. Akademik cemerlang boleh menjadi peneraju perubahan, bukannya mengejar dari belakang kerana asyik ketinggalan.
Dalam konteks kepemimpinan pengurusan, proses pencapaian kecemerlangan individu, kemerdekaan dan kedaulatan perlu terus diperkasa. Kepemimpinan tidak boleh bersorak riuh di kampung atau selesa dengan pencapaian semasa.
Malah, sistem pendidikan tinggi mesti melakukan penambahbaikan berterusan melalui tadbir urus cekap, bermula di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berlandaskan tatakelola berkesan, adil serta berintegriti.
Kecemerlangan secara seimbang, menyeluruh dan adil membabitkan penyelarasan antara pelbagai peranan dan fungsi pendidikan tinggi. Ia bukan mengutamakan faedah ekonomi dan mengabaikan kontrak sosial atau berfokuskan kepentingan individu berbanding kepentingan warga atau mendahului keperluan global dan meminggirkan aspek kebangsaan.
Bagi ilmuwan, mengakar ke bumi agar sumbangan kepada ilmu memberi impak kepada pelajar, industri, masyarakat dan alam. Bukan berbangga mengenai kehebatan diri, bukan hanya selesa bercerita mengenai pencapaian, tetapi harus berbicara terhadap impak ilmu kepada penyelesaian isu negara dan global, kerencaman sosial ekonomi masyarakat serta meneguhkan tahap kewibawaan dan integriti akademik.
Kerajaan juga perlu peka mengenai kepentingan pendidikan sebagai pembentuk modal insan negara berkualiti, berketrampilan dan segera menyesuaikan diri kepada perubahan.
Pendidikan bukan komoditi didagangkan, tetapi perkhidmatan untuk kemajuan bangsa dan pembangunan negara. Keghairahan institusi pendidikan tinggi kepada perniagaan perlu ditimbang semula.
Penulis adalah Profesor Pendidikan Tinggi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Ulasan
Catat Ulasan