12 PPS lagi dibuka di Kelantan setakat malam tadi
November 27, 2024
KOTA BHARU: Sebanyak 12 lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan dibuka menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 13 PPS yang telah dibuka di negeri ini sejak 24 November lepas, setakat semalam.
PPS di Daerah Bachok yang membuka tirai pada 22 November lalu ditutup semalam berikutan keadaan banjir semakin baik di daerah terbabit.
Manakala 12 PPS baru yang mula dibuka tersebut melibatkan Jajahan Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai dengan jumlah mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan seramai 243 dari 83 keluarga setakat pukul 10:25 malam tadi.
Hujan lebat dan agak kerap berlaku juga menyebabkan beberapa sungai utama di negeri ini naik mendadak semalam.
Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli kini mencatat 30.19 meter (m) telah melebihi tahap bahaya (29.5m) dan air dijangka semakin naik, manakala Sungai Semerak di Pasir Puteh (F1) kini telah melebihi tahap amaran (2.3m) iaitu sebanyak 0.23m.
Sungai Golok di Rantau Panjang (F1), Pasir Mas juga telah melebihi tahap amaran 8.97m melebii 8m dan Sungai Melor di Jambatan Melor (F2) dengan aras air 7.81m telah melebihi tahap waspada (7m).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati berikutan keadaan hujan lebat berbanding biasa.
Menurutnya, hujan lebat berterusan dijangka melanda seluruh negeri Kelantan sehingga Jumaat, 29 November sebagaimana yang dimaklumkan oleh MetMalaysia semalam.
“Mohon semua bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan patuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan kita bersama.
Jaga diri dan keluarga. Awasi pergerakan anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut meninjau tempat menyukat banjir di Tangga Bradley, Kuala Krai petang semalam. – HARAKAHDAILY 27/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan