1.95 juta graduan kerja sektor rendah
Lepasan universiti gagal dapat pekerjaan setimpal dengan kelulusan. - GAMBAR HIASAN
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
14 November 2024, 7:00 am
PUTRAJAYA: Kira-kira 1.95 juta lepasan universiti di negara ini bekerja di sektor lebih rendah yang tidak setimpal dengan kelulusan dimiliki mereka.
Data juga menunjukkan jumlah guna tenaga mahir yang bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah ini telah meningkat sebanyak 0.7 peratus.
Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah itu mewakili 36.8 peratus kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pada suku ketiga 2024 berbanding suku kedua iaitu berjumlah 1.94 juta orang atau 37 peratus.
Angka itu menunjukkan kerugian kepada guna tenaga kerja mahir di negara ini dalam membentuk keseimbangan kepakaran tenaga kerja, penyediaan peluang pekerjaan bersesuaian dan lambakan graduan yang tidak setimpal dengan keperluan industri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Dr. Ahmad Ismail berkata, transformasi pendidikan tinggi negara perlu disegerakan dan perkara asas dasar pendidikan tinggi perlu dilihat semula, mengambil kira semua aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Dalam mencapai hasrat itu, kepemimpinan universiti sangat penting dan memerlukan pemimpin yang berbakat dan mempunyai wawasan terkehadapan memenuhi fokus institusi yang dipimpin.
“Perkara berkaitan pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasakan untuk persaingan graduan serta bakat masa hadapan.
“Negara maju meletakkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai langkah penting memperkasakan bakat. Dengan perkembangan teknologi terutama bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI) membuatkan keperluan bakat dalam bidang STEM tidak boleh dilambatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, negara juga memerlukan kekuatan baharu bakat manusia yang mampu mengendalikan isu kesejahteraan manusia secara bersepadu menggunakan teknologi semasa.
Jelasnya, pendidikan STEM sangat diperlukan untuk memerangi perubahan iklim yang dihadapi dunia sekarang, namun potensinya belum disedari ramai dan belum nampak strategi jelas melalui sistem pendidikan.
Kata beliau, pemerkasaan bidang kecerdasan buatan (AI) dan kesihatan planet sangat relevan dan perlu disegerakan di peringkat universiti.
“Negara mesti membina komuniti pendididik dan pemimpin yang boleh mempengaruhi arah tuju pendidikan berkaitan perubahan iklim termasuk kepelbagaian biologi dan sekali gus memperkasakan generasi sekarang dan masa depan.
“Cabaran besar pendidikan sains memerlukan kepelbagaian pendekatan dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) sains. Zaman Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang mana teknologi maklumat dan aplikasinya yang cepat berkembang. Pendidikan cara lama mungkin tidak lagi berkesan,” katanya.- UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan