Ahmad Fadhli desak PM tegaskan pendirian terhadap Israel


Ahmad Fadhli desak PM tegaskan pendirian terhadap Israel
November 14, 2024

Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Israel tidak mempunyai hak untuk wujud di dunia ini kerana negara itu diasaskan atas dasar genosid dan kezaliman terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, ujar Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Beliau menyatakan demikian susulan wawancara Perdana Menteri dengan CNN, di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyebut Israel mempunyai hak untuk wujud.

Justeru, Ahmad Fadhli mendesak Perdana Menteri untuk menyatakan pendirian negara dengan lebih jelas dan tegas, seiring dengan sokongan Malaysia terhadap Palestin.

“Kita menyokong usaha kerajaan, khususnya Perdana Menteri yang memfailkan usul hari ini untuk mengeluarkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Ini adalah tindakan yang berani dan sebagai negara kecil, kita harus bangga dengan pendirian ini,” katanya ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri dalam wawancara tersebut sebagai mengelirukan dan menuntut penjelasan agar pendirian Malaysia tidak dipersoalkan.

“Israel tidak mempunyai hak untuk wujud, negara ini dibina atas dasar kezaliman yang jelas terhadap rakyat Palestin,” tambahnya. -HARAKAHDAILY 14/11/2024

Ulasan