‘Apa pandang, aku polis!’


‘Apa pandang, aku polis!’
MOHD. Nazri Abdul Razak semasa dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Oleh ASLIZA MUSA
15 November 2024, 6:17 am

IPOH: “Apa pandang saya. Aku polis!”

Ayat tersebut diucapkan de­ngan kuat oleh pemandu kereta Perodua Ativa selepas melanggar pelajar, Zaharif Affendi Muhd. Zamrie.

Lelaki berkenaan dalam nada yang kuat juga meminta bantuan orang awam untuk mengangkat mangsa ke bucu jalan.

“Semasa saya berada di tempat perlanggaran, saya nampak Zaharif baring meniarap muka ke atas jalan. Saya dapat melihat paha dan siku Zaharif mempu­nyai kecederaan.

“Saya juga nampak seorang lelaki turun dari kereta Ativa putih, datang ke arah tempat perlanggaran selepas meletak keretanya di tepi jalan Pekeliling Meru Indah.

“Pada masa ini, ramai orang awam dan budak-budak sekolah kerumun dan cuba mengalihkan barang-barang Zaharif yang jatuh.


“Pemandu Ativa itu juga telah datang ke tempat Zaharif jatuh dan memarahi saya ‘apa pandang saya? Kau tengok apa? Kau tolong aku angkat dia, aku polis!’ dalam nada yang kuat,” kata saksi pendakwaan ke-12, yang juga seorang remaja ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Saksi berkenaan merupakan saksi remaja ketiga yang dilin­dungi identitinya kerana merupakan saksi bawah umur.

Menurut saksi tersebut, ada orang awam memakai topi ke­ledar mengangkat Zaharif pada bahagian kaki manakala pemandu Ativa pula mengangkat mangsa di bahagian ketiak.

Katanya, dia cuba menolong dengan memapah di bahagian tengah belakang badan Zaharif namun bantuannya terhenti separuh jalan kerana berasa takut melihat keadaan Zaharif yang nazak.

“Saya sempat melihat lelaki itu (pemandu Ativa) dan orang awam yang mengangkat Zaharif meletakkan Zaharif di bucu simpang Jalan Taman Jati 1 sebelum berpaling balik ke kereta ibu dan lari balik.

“Semasa saya lari balik ke arah kereta ibu, saya nampak ibu berada di luar kereta Mitsu­bishi Triton sedang menghubungi ambulans,” katanya.

Tambah saksi tersebut, ketika pergi semula ke lokasi Zaharif dibaringkan, dia melihat seorang lelaki memakai baju berwarna merah sedang memeluk mangsa sambil mengatakan ‘Zaharif, ni abah ni’.

Jelasnya, dia mengenali lelaki itu sebagai bapa kepada mangsa kerana sering ke restorannya untuk makan.

“Saya dapat lihat Zaharif meronta-ronta ke kiri dan ke kanan akibat kesakitan dan cuba bangun namun ditahan oleh pak cik tersebut.

“Saya juga ada nampak seorang jururawat yang berpakai­an seragam jururawat sedang cuba menenangkan Zaharif,” katanya.

Mengikut pertuduhan, De­puti Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Zaharif, 17.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet. – UTUSAN

Ulasan