Banjir: 3 sungai di Kelantan melepasi paras amaran

Banjir: 3 sungai di Kelantan melepasi paras amaran
Oleh Hazira Ahmad Zaidi - November 23, 2024 @ 8:27am
Sungai Golok antara tiga sungai di Kelantan yang melepasi paras amaran. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Tiga sungai utama di Kelantan melepasi paras amaran setakat pagi ini.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai berkenaan adalah Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 8.62 meter (m) berbanding paras amaran 8m.

Sungai Melor di Jambatan Melor juga melebihi paras amaran dengan bacaan 8.06m berbanding paras amaran 8m dan Sungai Semerak di Pasir Puteh dengan bacaan 2.42m berbanding paras amaran 2m.

Sementara itu, Sungai Golok di Kuala Jambu melepasi paras berjaga-jaga iaitu dengan bacaan 2.05m berbanding 0.70m.

Selain itu, semua sungai lain direkodkan berada pada paras normal.

Dalam pada itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Bachok.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan hujan menyeluruh akan berlaku di seluruh negeri bermula hari ini sehingga Jumaat depan.

Ulasan