BANJIR DI KELANTAN SEMAKIN BURUK; SEMBILAN JAJAHAN TELAH BUKA PPS



BANJIR DI KELANTAN SEMAKIN BURUK; SEMBILAN JAJAHAN TELAH BUKA PPS

Pagi ini mendapat panggilan telefon daripada Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff (YB Kak Lah) dan YB Kamaruzaman Mohamad (YB KZ) ADUN Gual Periok yang memaklumkan tentang situasi banjir terkini di sana, di dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang.

Sejak awal pagi tadi, laporan bajir di Kelantan semakin buruk dan sehingga kini, sebanyak 51 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Kelantan yang melibatkan sembilan (9) dari sebelas (11) jajahan di Kelantan.

Seperti mana yang diketahui umum, Kelantan adalah negeri yang sudah sinonim dengan bencana banjir pada setiap tahun sama ada dalam skala besar atau skala kecil. Kawasan Rantau Panjang adalah di antara kawasan yang terpaksa mengadap bencana banjir besar, selain dari kawasan seperti Tumpat, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas yang dikategorikan sebagai 'hotspot' di Kelantan.

YB Kak Lah, dalam perbualan tadi telah menyediakan lokasi untuk NGO Khidmat Malaysia beroperasi bermula hari ini. Dalam keadaan yang masih genting ini, operasi menyelamat dan bantuan makanan adalah menjadi keutamaan namun untuk urusan menyelamat, hanya yang mahir sahaja dibenarkan turut sama dalam operasi di bawah Jabatan Amal Malaysia (JAM). Dapur Rakyat di bawah Yayasan Amal Malaysia (YAM) akan dibuka dalam masa terdekat.

Perkara yang paling utama ketika ini adalah keselamatan mangsa banjir yang perlu dipindahkan ke tempat selamat. Di bawah Rakan NADMA, agensi menyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berperanan dalam operasi ini.

Apapun, kita doakan keselamatan kepada penduduk yang terlibat dengan bencana banjir ini.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
27 November 2024, 10.02 pagi

Ulasan