Berita
Indeks Kebebasan Media merudum, PM kaitkan dengan Raja-raja
Diterbitkan: Nov 21, 2024 11:57 AMPARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa penurunan ketara dalam Indeks Kebebasan Media negara tahun ini disebabkan terikat dengan hasrat Majlis Raja-raja untuk tidak dikritik secara terbuka.
Menurut Anwar, walaupun kerajaan membenarkan rakyat bebas bersuara, namun mereka perlu menghormati kedudukan Raja-raja Melayu.
“Mengenai indeks kebebasan media, kita juga terikat masalah 3R (kaum, agama, raja-raja)
“Sementara kita izinkan orang berbicara, tetapi sidang Raja-raja Melayu itu sangat tegas. Jadi kita juga terikat dengan pandangan Raja-raja bahawa mereka tidak mahu dan mengizinkan sebarang kecaman di khalayak tanpa tindakan.
“Kalau dibangkitkan umpamanya kecaman-kecaman terhadap saya itu berbakul-bakul, tak ada tindakan, tapi kalau ada laporan polis biar polis yang uruskan. Saya a tak pedulikan sangat hal-hal sedemikian,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa Waktu Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi ketika menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang).
Mengulas lanjut, Anwar mengakui terdapat keperluan untuk memperbaiki pengiktirafan antarabangsa terhadap kebebasan media di negara ini.
“Jadi, saya terima teguran YB Pendang, bahawa ada keperluan kita perbaiki persepsi ini.
“Cuma kita ada keterbatasan, itu saja masalah dia,” katanya lagi.
Ahli parlimen pembangkang itu membangkitkan kedudukan Malaysia yang jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107.
Laporan yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) itu menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.
Ulasan
Catat Ulasan