Betulkah bangunan Parlimen akan dipindahkan dari KL ke Putrajaya?
PERJANJIAN Kuala Lumpur 1974 yang menegaskan secara tersirat jika Parlimen dipindahkan, maka Kuala Lumpur kembali kepada Selangor. – GAMBAR HIASAN
Oleh AMREE AHMAD
4 November 2024, 8:00 am
ALKISAH, kecoh warganet tempatan akhir Ogos lepas apabila ramai berkongsikan hantaran seorang netizen yang bercerita perihal isu sejarah hak pemilikan tanah Kuala Lumpur.
Kisahnya itu mungkin tampak ‘biasa-biasa’ namun ia ada kesan besar kepada Putrajaya sendiri yang sejak 2010 lagi sering dimomokkan bahawa Parlimen bakal berpindah ke situ.
Ironinya, cerita ‘panas’ ini tidak pun dikupas dalam apa-apa program rasmi kerajaan apatah lagi diberi ulasan oleh mana-mana agensi secara tegas bagi menutup polemik tersebut.
Bahkan, ketika saya membuat liputan acara dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, tiada pemberita bertanyakan soalan ‘maut’ ini.
Peluang keemasan itu namun akhirnya cuba dimanfaatkan ketika saya baru-baru ini diberi tugasan bagi sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024.
Selepas tunggu hampir tujuh jam, saya dapat bertemu eksklusif dengan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia), Datuk Dr. Alias Rameli.
Beliau yang ternyata cukup mesra, mulanya kelihatan terkejut apabila saya menanyakan isu itu tetapi riak wajahnya tenang memberi pencerahan yang dianggap padat dan tuntas.
Dipendekkan cerita beliau gembira kerana mungkin juga saya menjadi wartawan pertama menyoalkan isu itu dan kebetulan jawapan perkara tersebut pula baru sahaja diterimanya.
“Sudah dimuktamadkan Parlimen masih kekal lagi di ibu negara kita,” katanya ringkas dan menambah bahawa bangunan yang sedia ada berusia 62 tahun itu bakal ditambah baik.
Kompleks legislatif negara yang terletak dekat Taman Botani Perdana itu ujarnya, malah terus bertapak di Kuala Lumpur buat selama-lamanya dan tidak berpindah ke mana-mana.
Walhasil, beliau menjawab kemusykilan ramai pengguna media sosial berhubung status keabsahan Perkara 154 Perlembagaan Persekutuan mengenai lokasi sah ibu negara kita.
Berdasarkan tafsiran perundangan secara harfiah dalam bahasa mudah, jikalau Parlimen dipindah ke tempat lain, maka Kuala Lumpur perlu kembali kepada kedaulatan Selangor.
Ini menjelaskan maksud tersirat Artikel III Perjanjian Kuala Lumpur 1974 dimeteraikan bagi pemisahan sebidang tanah daripada Selangor untuk pembentukan Wilayah Persekutuan.
Alias turut mengesahkan bahawa beliau sudah memperoleh makluman keputusan rasmi itu yang membolehkan PlanMalaysia tidak lagi perlu merangkakan Parlimen di Putrajaya.
“Saya pun baru diberitahu kira-kira dua minggu lepas,” katanya yang merujuk pertengahan Oktober lalu namun anehnya perkara tersebut tidak dihebahkan kepada masyarakat.
Utusan Malaysia difahamkan bahawa Parlimen pernah dicadangkan berpindah ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan tanah sekitar yang sengaja dibiarkan kosong.
Putrajaya diwujudkan ekoran kesesakan teruk di Kuala Lumpur dengan mengambil model pusat bandar terancang di Canberra di Australia, Brasilia di Brazil dan Islamabad di Pakistan.
Idea Putrajaya kemudian dijadikan contoh bagi pembinaan ibu negara baharu Naypyidaw di Myanmar, Astana di Kazakhstan; Wedian di Mesir dan terkini pula di Nusantara, Indonesia.
Isu pemindahan Parlimen hangat ditimbulkan ketika kerajaan mula memindahkan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur pada 1999 tetapi tidak diwartakannya sebagai ibu negara.
Bahkan, Utusan Malaysia pada 20 November 2020 menyiarkan rencana mengenai punca banyak negara enggan kedutaan bertukar ke Putrajaya kerana Parlimen ada di ibu kota.
Ia bahkan menjadi alasan lima kuasa besar dunia langsung tidak mahu premis canserinya dipindahkan seperti kes sama di Afrika Selatan, Belanda, Chile, Sri Lanka dan Tanzania.
Setakat ini, hanya Brunei yang sudah pun berpindah pejabat misi diplomatiknya itu ke Putrajaya selain Pertubuhan Bangsa Bersatu Malaysia dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN.
Keadaan itu mengakibatkan suasana Presint Diplomatik yang berkeluasan 84 hektar dan sepatutnya ‘meriah’ dengan ada 28 kedutaan dari pelbagai negara namun masih lagi sunyi.
Selain Parlimen, Istana Negara turut terus ada di ibu negara berdasarkan perjanjian yang ditandatangani itu malahan berpindah pada 2011 pun kekal dalam kawasan Kuala Lumpur.
Tidak ketinggalan, ada beberapa premis yang ditetapkan berada di sana kerana faktor strategik antaranya Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, serta tiga buah lagi kementerian.
Begitu juga ibu pejabat Jabatan Penyiaran Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Masjid Negara, Muzium Negara, Perpustakaan Negara dan markas induk polis Bukit Aman
Ulasan
Catat Ulasan