Dewan kecoh isu RM94 juta di rumah bekas menteri


Dewan kecoh isu RM94 juta di rumah bekas menteri
November 4, 2024

Datuk Awang Hashim

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini tegang apabila isu wang tunai RM94 juta yang didakwa ditemui di kediaman seorang bekas menteri daripada DAP dibangkitkan oleh Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

Perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 terganggu apabila Awang mendesak penjelasan mengenai perkembangan terkini siasatan kes tersebut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Awang mempersoalkan lambatnya perkembangan siasatan terhadap kes tersebut walaupun sudah lebih setahun ia dibangkitkan.

“Kes RM94 juta ini, yang didapati di sebuah rumah seorang menteri pemimpin DAP, sudah lebih setahun tetapi kita tidak tahu setakat mana siasatannya.

“Dah lama, menteri pun sudah ditukar,” ujarnya.

Kenyataan tersebut mencetuskan bantahan serta-merta daripada Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (PH-Jelutong), yang menuduh Awang mengemukakan maklumat tidak tepat dan mempertikaikan angka serta fakta yang dibawa.

“Dia kena faham, sebut angka pun tak betul. Dia sebut pemimpin DAP sahaja, terus meletup.

“Dia ingat DAP ni malaikat kot, suci,” balas Awang, menambah sindiran terhadap reaksi defensif yang ditunjukkan oleh Rayer.

Dalam menghadapi kekecohan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor, terpaksa campur tangan bagi mengawal situasi, dengan memberi amaran kepada semua ahli parlimen agar mematuhi peraturan perbahasan untuk mengekalkan ketertiban sidang.

Beliau berkata ahli yang tidak berpuas hati untuk membawa Awang ke jawatankuasa bagi membolehkan semua pihak mengemukakan hujah masing-masing secara rasmi.

“Saya menjemput dan memperkirakan Yang Berhormat yang tidak puas hati atas perkara ini membuat usul untuk membawa Yang Berhormat Pendang ke jawatankuasa.

“Supaya kita jadi adil dengan yang berhormat Pendang dia boleh menjawab hitam putih, both sides of the story,” jelas beliau.

Sidang diteruskan selepas situasi kembali terkawal, dengan Dewan mengingatkan semua ahli untuk menghormati Akta Peraturan Dewan bagi memastikan persidangan berjalan lancar tanpa gangguan. – HARAKAHDAILY 4/11/2024

Ulasan