Dosa besar 25 tahun dalam pembangunan tanam semula sawit
PEMBANGUNAN tanam semula ini banyak memberi peluang dan ruang kepada pihak pengurusan ladang dalam membuat penambahbaikan pada sistem jalan ataupun akses sedia ada.
Oleh Rencana Utusan
26 November 2024, 9:00 am
BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan insentif khas untuk pembangunan tanam semula sawit untuk tahun hadapan bertujuan menggantikan pokok-pokok sawit yang berusia lebih dari 25 tahun dan kurang produktif.
Pengumuman dalam Belanjawan 2025 antaranya berkaitan insentif cukai dan bantuan tanam semula kepada pemain industri sawit termasuk syarikat dan pekebun kecil untuk meningkatkan daya saing dalam industri sawit.
Peruntukan RM100 juta dijangka memberi manfaat lebih 1,500 orang pekebun kecil melibatkan kawasan seluas 5,900 hektar.
Secara ringkasnya, pembangunan tanam semula ini banyak memberi peluang dan ruang kepada pihak pengurusan ladang dalam membuat penambahbaikan pada sistem jalan ataupun akses sedia ada.
Dengan kata lain, program pembangunan tanam semula dapat menyediakan satu platform untuk pihak pengurusan ladang untuk membetulkan masalah fizikal ataupun kelemahan yang dihadapi pada masa lalu dalam mengenalpasti masalah dan membuat pembaikan di ladang.
Namun, jika dilakukan secara semberono tanpa mengambil kira pelbagai aspek penting, kesilapan ini dapat memberikan impak yang serius dan bertahan selama dua dekad atau lebih. Kesilapan dalam penanaman semula sawit yang dianggap sebagai ‘dosa besar 25 tahun’ merujuk kepada tindakan pengurusan ladang atau pemilik kebun sawit yang gagal mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan pengeluaran sawit yang mampan.
Disenaraikan 10 perkara ketidakpatuhan dalam program pembangunan tanam semula sawit:Anak pokok sawit yang diperoleh tidak berkualiti
Tiada pemantauan program penakaian di tapak semaian
Cincangan batang sawit tidak mengikut spesifikasi
Pembinaan teras pertanian ‘tergantung’
Jaringan jalan pertanian tidak memotong teres serta panjang
Membaris asas pre-lining tidak lurus
Pembinaan teres pertanian tidak mengikut spesifikasi
Corak penanaman sawit tidak triangle atau sudut 60 darjah
Menanam anak sawit dan kekacang penutup bumi (KPB) di musim kemarau
Serangan kumbang badak pada anak pokok
Dari perkongsian ini diharap pihak pengurusan ladang serta pekebun kecil khususnya bagi mereka yang sedang dalam perancangan melakukan program pembangunan tanam semula sawit mendapat gambaran sebenar serta memahami serba sedikit tentang kesilapan-kesilapan utama yang sering dilakukan.
Selain itu, penyediaan pelan pembangunan tanam semula dari pihak berpengalaman dan bertauliah serta menyediakan kursus teknikal tanam semula kepada staf dan pegawai yang akan dipertanggungjawabkan menjaga ladang tanam semula merupakan faktor penting memacu kecemerlangan dan kejayaan sesuatu projek pembangunan tanam semula. – UTUSAN
MOHD. KHAIRIL JAMAHURI
Ahli Agronomi,Bahagian Agronomi & Khidmat Pertanian LKPP Corporation Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan