Hanipa jawab Anwar - Kamu ada 24 tahun buat persediaan UPSR




Berita
Hanipa jawab Anwar - Kamu ada 24 tahun buat persediaan UPSR

Mengikut imbasan Hanipa Maidin, Anwar Ibrahim telah melaungkan "reformasi" sejak pemecatannya dari kerajaaan pada September 1998.

Sejak itu dia telah meluangkan lebih dua dekad menyampaikan ucapan berapi-apinya di seluruh negara tentang bagaimana dia berhasrat untuk mengubah negara ini menjadi lebih baik.




“Dia ada 24 tahun untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan UPSR. Dan tidak seperti peperiksaan lain, dia diberi keistimewaan menjawab soalan dalam tempoh dua tahun.

“Ahad ini, genap dua tahun dia menjadi perdana menteri,” kata bekas timbalan menteri undang-undang itu kepada Malaysiakini.

Hanipa mengulas kenyataan Anwar hari ini di Dewan Rakyat yang menyifatkan kerajaan Madani pimpinannya itu sebagai "masih sangat baru" ketika menjawab penarafan gred D yang diberikan oleh gabungan reformasi pilihan raya, Bersih dalam penilaiannya baru-baru ini.

Anwar dilaporkan berkata dia yakin bahawa kerajaannya mampu melakukan lebih baik pada masa hadapan, dan berhasrat untuk mendapat A dalam peperiksaan SPM selepas memperoleh gred D dalam ujian Bersih, yang ibarat peperiksaan UPSR bagi murid darjah enam sebelum dihentikan.

Hanipa, bagaimanapun, tidak berkongsi keyakinan itu dan berkata, dia tidak pasti jika rakyat Malaysia juga mempercayai kata-kata perdana menteri itu.

Menggunakan analogi peperiksaan yang sama, bekas ahli parlimen Amanah itu menegaskan bahawa terdapat jurang tempoh lima tahun antara peperiksaan UPSR dan SPM.

“Di tengah-tengah akan ada pilihan raya umum.

“Bagaimana jika orang ramai sebagai pengetua, tendang kerajaan keluar daripada sekolah kerana tiada kemajuan sebelum berpeluang menduduki peperiksaan SPM?

“Sama ada rakyat percaya kerajaan Madani akan mencapai prestasi yang lebih baik dalam SPM atau tidak, yang pasti hari ini kerajaan hanya mampu dapat D berdasarkan penilaian Bersih.

“Tidak pasti jika dia mampu dapat C apatah lagi A kemudian nanti. Jadi tidak penting jika kerajaan itu baru atau lama," tambahnya.

Hanipa berhujah bahawa kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan di bawah Dr Mahathir Mohamad, yang turut dianggotainya kelihatan lebih bersedia untuk melaksanakan reformasi.

Katanya, semua ini dilakukan walaupun tanpa sebarang laungan “reformasi” berterusan.

“Kerajaan ini secara konsisten melaungkan pembaharuan tetapi keazamannya untuk membawa pembaharuan yang bermakna sentiasa dipersoalkan,” katanya.

Hanipa berkata, di sebalik kritikan terhadap Mahathir, bekas perdana menteri itu berjaya mengheret presiden Umno ketika itu Najib Razak ke mahkamah berhubung skandal 1MDB.

"Di bawah PMX (Anwar), sebaliknya, presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) dilantik sebagai timbalan perdana menteri walaupun berdepan 47 pertuduhan," katanya.

Zahid kemudiannya diberikan pelepasan tanpa Pembebasan (DNAA) bagi semua pertuduhan tersebut.

Menurut kad laporan pertengahan penggal Bersih, Mahathir dan Ismail Sabri Yaakob, menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding perdana menteri ke-10 itu.

Mahathir, yang memegang rekod sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat dalam tempoh pertamanya iaitu selama 22 tahun, melepaskan jawatan itu hanya dalam tempoh 22 bulan selepas mengemudi PH meraih kemenangan mereka pada pilihan raya umum 2018.

Manakala Ismail Sabri pula mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling singkat dengan memegang jawatan itu hanya selama 15 bulan.

Ulasan