Insurans perubatan makin membebankan
POLISI insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan AMINUDDIN LOKMAN HAKIM
26 November 2024, 7:00 am
PETALING JAYA: Polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.
Ini berdasarkan notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna memaklumkan mengenai kenaikan premium itu.
Alasan yang diberikan ialah kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.
Ekoran itu ramai pengguna bertindak menamatkan polisi insurans perubatan mereka kerana tidak lagi mampu menanggung peningkatan premium yang perlu dibayar setiap bulan.
Sebagai alternatif mereka memilih untuk menggunakan insurans yang disediakan oleh pihak syarikat atau menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan.
Majoriti pengguna kad insurans perubatan meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan kenaikan tersebut yang bukan hanya membebankan, malah disifatkan sebagai tidak munasabah.
Bagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Hamidi berkata, setakat ini dia sudah menerima surat daripada syarikat insurans yang menyatakan kadar kenaikan berkenaan akan berkuat kuasa Februari tahun depan.
“Pada tahun ini syarikat berkenaan sudah pun menaikkan kadar polisi lebih RM40.
“Dan untuk tahun depan, kadar tersebut akan naik sekali ganda lagi. Sebelum ini saya bayar RM188.47 sebulan dan selepas ini saya perlu bayar RM237.34 sedangkan pada tahun lalu berlaku lagi kenaikan, iaitu daripada RM157.69 kepada RM188.47.
“Persoalannya, mengapa kenaikan (polisi) berlaku setiap tahun? Perkara sebegini betul-betul membebankan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, Hamidi berkata, kenaikan tersebut sangat ketara dan menimbulkan pelbagai persoalan.
“Ia bagaikan acara tahunan. Setiap kali minta penjelasan mereka akan kata ia disebabkan kenaikan kos rawatan. Apakah bukti yang mengatakan kos rawatan meningkat setiap tahun?
“Adakah kenaikan ini disebabkan perkhidmatan daripada hospital swasta yang kita sendiri pun tidak tahu apakah garis panduan ditetapkan untuk setiap pesakit? Adakah terdapat ‘pakatan’ antara syarikat insurans dan hospital swasta dalam hal ini,” soalnya.
Seorang lagi pengguna, Safie Wahab berkata, polisi insurans miliknya turut mengalami kenaikan sebanyak RM133 iaitu dari RM244 kepada RM377 sebulan.
Malah dia tidak menolak kemungkinan untuk menghentikan pembayaran dan perkhidmatan tersebut pada masa akan datang.
“Mungkin akan sampai masa orang ramai tidak lagi mampu membayar insurans kesihatan dan pemegang polisi insurans sedia ada mungkin membiarkan ia luput,” ujarnya.
Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan beberapa syarikat insurans berhubung isu tersebut, namun tiada maklum balas sehingga kini.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Seri Dr. Jacob George berkata, bukan sesuatu yang wajar untuk menaikkan kadar premium insurans pada masa kini dengan mengambil kira faktor kos sara hidup.
“Kenaikan ini ada batasnya. Lagipun berapa jumlah wang yang mereka keluarkan untuk menanggung pencarum berbanding wang yang diterima syarikat?
“Malah paling menyedihkan, ada masanya protokol bagi pencarum untuk membuat tuntutan agak rumit,” jelasnya.
Jacob dalam masa sama menuntut syarikat insurans memaparkan jumlah kerugian tahunan mereka sekiranya mahu meningkatkan kadar premium.
“Mereka perlu tunjukkan berapa jumlah kerugian. Jika kenaikan ini berlaku, ia tidak mencerminkan pendekatan Kerajaan Madani. Justeru, menteri berkaitan jangan biarkan berlaku kenaikan,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bukan sahaja dengan syarikat insurans tetapi dengan hospital swasta bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Beliau bersama ahli-ahli Parlimen PKR memulakan inisiatif mengumpul maklumat mengenai caj hospital swasta dan insurans perubatan yang melambung tinggi ketika ini.
“Kami sudah terima 52 aduan dan kita mahu lebih ramai buat aduan supaya kami boleh tahu lebih lanjut selain isu melibatkan caj hospital swasta,”jelasnya.
Bagi perunding insurans yang mahu dikenali sebagai Ahmad, kenaikan kadar caj insurans kad perubatan bukan sesuatu yang baharu.
“Ada dua jenis. Satu dipanggil step up dan kadar tersebut pasti naik setiap tiga tahun sekali. Bagaimanapun dalam tempoh itu akan berlaku repricing (penentuan harga semula) bergantung kepada keadaan semasa seperti ekonomi, inflasi dan kadar caj perubatan.
“Satu lagi dipanggil level contribution. Jaraknya (kenaikan kadar) dalam tujuh ke 10 tahun. Bagaimanapun, ia sama dan penentuan harga akan dibuat dalam tempoh berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan