INTEGRITI DALAM PEMERINTAHAN : PMX SERIUS ATAU TIDAK?


INTEGRITI DALAM PEMERINTAHAN : PMX SERIUS ATAU TIDAK?

Mungkin ramai yang tidak menjangkakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan respon jenaka terhadap penilaian BERSIH terhadap dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan. Isu yang dibangkitkan berkaitan dengan gred 'D' yang diberikan oleh BERSIH kepada Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan dirinya sebagai PMX adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius namun ia dilihat sebagai satu jenaka sahaja.

Berdasarkan ulasan yang diberikan oleh Dato' Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr) Mohd Amar bin Abdullah, kenyataan PMX yang membandingkan kritikan itu dengan peperiksaan UPSR adalah satu respons yang tidak matang dan tidak bertanggungjawab. Sebagai seorang pemimpin tertinggi negara, beliau seharusnya mengakui kelemahan pentadbiran dan berusaha memperbaikinya, bukannya memberikan jawapan yang kelihatan terlalu ringan atau bersifat jenaka.

BERSIH, sebagai badan pemantau pilihan raya dan hak asasi, memberi gred 'D' kepada Kerajaan Perpaduan berdasarkan penilaian terhadap prestasi dan integriti pentadbiran kerajaan. Saya yakin bahawa BERSIH adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diiktiraf oleh PMX maka kritikan yang merangkumi pelbagai aspek termasuk isu ketelusan, keberkesanan dalam pentadbiran dan pengurusan negara sepatutnya diberikan perhatian serius. Apabila seorang pemimpin negara memberi respons dengan merendahkan atau memperkecilkan kritikan tersebut, ia menggambarkan ketidakseriusan dalam menangani isu yang dihadapi.

Ditambah lagi, PMX menjawab isu lawatan rasmi kerajaan yang telah ditaja oleh syarikat swasta juga mencetuskan kebimbangan berkaitan dengan konflik kepentingan. Tindakan menerima tajaan daripada pihak luar membuka ruang kepada campur tangan dari pihak yang berkepentingan yang boleh merosakkan integriti kerajaan dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan pentadbiran.

Sebagai pemimpin, komitmen untuk memperbaiki kelemahan dalam pentadbiran, menerima kritikan secara profesional dan menjaga integriti adalah sangat penting, bukannya “cakap tak serupa bikin”. Apa yang penting, tidak sepatutnya pemimpin bertindak balas secara jenaka atau menganggap perkara ini sebagai isu ringan kerana ia melibatkan tanggungjawab yang besar kepada rakyat dan negara.

Apapun, saya suka dengan respon yang telah dibuat oleh sdr Hanipa Maidin, mantan Timbalan Menteri Undang-undang yang menyatakan bahawa PMX ada 24 tahun untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan UPSR dan PMX diberi keistimewaan menjawab soalan dalam tempoh dua tahun. Beliau menyebut bahawa di tengah-tengah akan ada pilihan raya umum. Bagaimana jika orang ramai sebagai Pengetua, tendang kerajaan keluar daripada sekolah kerana tiada kemajuan sebelum berpeluang menduduki peperiksaan SPM?

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
22 November 2024

Ulasan