Jangankan 5G, apa G pun tidak ada di sini!




Jangankan 5G, apa G pun tidak ada di sini!
Oleh Ismail Daud
12 November 2024, 7:00 am

PENGUMUMAN bahawa U Mobile dipilih sebagai peneraju rangkaian kedua 5G adalah salah satu daripada isu yang menjadi bualan ramai sejak minggu lalu. Satu lagi ialah kisah Fa­shionValet yang merugikan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Walau tidak sesensasi FashionValet tetapi cerita 5G kedua ini agak panas juga apabila macam-macam pandangan dan teori dilontarkan oleh orang ramai.

Bukan itu sahaja, pengendali mudah alih utama negara, Maxis dan Celcom Digi juga terkejut dengan pemilihan U Mobile sebagai peneraju rangkaian 5G kedua negara.


Maxis yang dikatakan pilihan untuk menerajui 5G kedua itu berikutan keupayaan infrastruktur, rangkaian dan kepakaran yang dimiliki tertanya-tanya apa rasional di sebalik pemilihan U Mobile, pemain termuda dalam industri telekomunikasi negara dengan jumlah pelanggan yang jauh lebih rendah.

Orang ramai juga mempersoalkan pemilihan U Mobile berikutan pemegang saham terbesarnya adalah syarikat yang berpangkalan di Singapura dan dilaporkan ada kaitan dengan sayap pelaburan kerajaan republik itu, Temasek Holdings .

Mereka mengaitkan dengan isu keselamatan siber negara dan isu kerahsiaan data rakyat. Itu antara kebimbangan yang disuarakan.


Namun, memandangkan kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula pemilihan U Mobile kerana pemilihannya adalah berdasarkan syor daripada pasukan teknikal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), maka kita boleh anggap isu itu sebagai sudah selesai.

Syarikat asing juga sudah mengumumkan akan melepaskan pegangannya yang kini sebanyak 49 peratus kepada 20 peratus sahaja untuk meningkatkan pemilikan tempatan.

Kini, apa yang boleh rakyat harapkan ialah kerajaan me­ngenakan syarat yang ketat, bukan sahaja bagi memastikan projek itu berjalan lancar tetapi juga seluruh rakyat dari setiap pelosok negara mendapat manfaatnya.


Selain liputan yang meluas, persaingan dalam rangkaian 5G diharap akan memberikan rakyat harga internet yang lebih murah.

Syarikat-syarikat yang diberi tanggungjawab menjadi penyedia 5G ini diharap tidak melupakan orang kampung dan yang tinggal di pedalaman yang masih berdepan dengan masalah internet yang tidak stabil sehingga ke hari ini. Ja­ngankan 5G, kadang-kadang apa G pun tidak ada, kata mereka.

Sudah banyak kisah yang disiarkan Utusan Malaysia me­ngenai internet di luar bandar. Dari kisah terpaksa belajar atas pokok, terpaksa memasang antena dan booster dan ada juga kisah seorang pelajar perempuan Orang Asli dari Kampung Sungai Choh, Tanjung Rambutan di Ipoh yang hampir terlepas hari konvokesyen kerana rumahnya tiada liputan internet.

Jikalau Kampung Sungai Choh yang jaraknya tidak sampai 30 kilometer dari Ipoh pun tiada liputan internet, bagaimana agaknya mereka yang tinggal jauh di pedalaman Sarawak, Sabah dan beberapa negeri di Semenanjung?

Kisah ‘terbaik’ ialah kisah penduduk di Rantau Panjang, Kelantan yang terpaksa memilih perkhidmatan syarikat telekomunikasi (telco) dari negara jiran kerana lebih stabil dan liputan lebih baik berbanding yang ditawarkan telco negara ini.

Memang benar kita tidak boleh menunggu semua kawasan ada liputan internet baru kita hendak bergerak ke arah 5G. Jika kita tunggu, kita akan ketinggalan tetapi dalam mengejar yang terkini, janganlah ada kelompok yang tertinggal jauh.

Takkanlah hanya orang Bangsar sahaja mahu strim Netflix tanpa lagging, orang Gubir, Dabong dan Mengkibol juga mahu kemudahan yang sama. – UTUSAN

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

Ulasan