Kelantan tingkatkan penggunaan IT dalam semua sektor
November 26, 2024
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri telah menubuhkan pasukan pakar Teknologi Maklumat (IT) bagi tujuan membawa masuk pelaburan digital ke negeri ini, khususnya untuk menjayakan projek Mini Lembah Silikon yang bakal dibangunkan di Tunjong, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, projek berkenaan akan dijayakan dengan penglibatan swasta dan kerajaan negeri melalui program transformasi teknologi digital.
Menurutnya, ia turut merangkumi program inovasi dan galakan pelaburan dalam kluster ekonomi dan industri digital iaitu cadangan ini sedang diteliti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan agensi Sehenti ICT iaitu Kelantan ICT Gateway.
Menurutnya, pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah memberi penekanan dalam pemerkasaan pembangunan digital kepada aspek pelaburan dan pendidikan pelajar di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Dalam aspek pelaburan, Kerajaan Negeri telah membangunkan Portal Invest Kelantan dan Sistem e-Pelaburan. Inisiatif ini bertujuan memberikan kemudahan dari aspek penyampaian maklumat pelaburan di Negeri Kelantan.
“(Iaitu) kepada pihak pelabur yang berpotensi dan berminat dengan mewujudkan perkhidmatan secara dalam talian melalui Portal Invest Kelanstan dan Sistem E-Pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 pada sidang DUN di Kota Darulnaim, di sini semalam.
Kelmarin, Zubir Abu Bakar (PAS-Mengkebang) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong Belanjawan 2025 mencadangkan kerajaan negeri supaya memperkasakan Teknologi Internet of Thing (loT).
Jelas Wan Roslan lagi, Kerajaan Negeri sedang meneliti aplikasi IoT dalam sektor pentadbiran awam, pertanian, dan sektor-sektor lain untuk memaksimumkan kecekapan dalam teknologi.
“Untuk Penggunaan IoT dalam bidang pendidikan, pada masa ini Kerajaan Negeri melalui Kelantan ICT Gateway dan YIK sedang membangunkan Aplikasi Sistem Pengurusan Sekolah Bersepadu.
“Program ini di bawah program Pendigitalan Sekolah-sekolah YIK melalui projek perintis di Maahad Sains Tok Guru, Peng Chepa, Maahad Muhammad Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang akan dimulakan pada pertengahan Febuari 2025,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan