Kelantan tumpu pembangunan insan berbanding fizikal


Kelantan tumpu pembangunan insan berbanding fizikal
November 25, 2024

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan

KOTA BHARU: Peruntukan lebih RM100 juta setahun untuk Yayasan Islam Kelantan (YIK) sekiranya dialih kepada projek pembangunan sudah tentu banyak bangunan yang dapat dibina.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan sebaliknya berkata, pembangunan insan bagi melahirkan manusia berkualiti lebih penting bagi kerajaan Kelantan.

Katanya YIK mengurus 93 sekolah agama dengan bilangan guru lebih 2,600 orang dan 36,000 pelajar.

Kata beliau YIK mempunyai kelas pengajian daripada tingkatan satu hingga enam rendah.

“Pelajar YIK menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sebagai kelas terakhir dan selepas itu mereka memasuki universiti.

“YIK pernah melahirkan pelajar cemerlang SPM di peringkat nasional. Antaranya Nik Mardiah dan Siti Fatimah yang muncul pelajar terbaik SPM,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 pada sidang DUN hari ini.

Menurutnya juga anak-anak Kelantan boleh ditemui di sahaja di seluruh negara sama ada di sektor awam, swasta dan keusahawanan.

“Pernah kita mengadakan lawatan ke sebuah sekolah di negeri tertentu di mana daripada 80 guru separuhnya daripada berasal dari Kelantan.

“Mereka bukan sahaja mengajar bidang agama, sebaliknya matapelajaran sains, matematik dan sebagainya,” kata beliau.

Menurutnya kecemerlangan pelajar YIK menyebabkan ramai ibu bapa dari negeri lain berebut-rebut hendak menghantar anak mereka belajar di sekolah agama di Kelantan. – HARAKAHDAILY 25/11/2024

Ulasan