KENYATAAN MEDIA
SOKONGAN TERHADAP CADANGAN EMPAT SETENGAH HARI BERKERJA SEMINGGU DI JOHOR
1. Kerajaan Johor telah mengambil langkah pro-aktif dengan mencadangkan supaya waktu bekerja di sektor awam di Johor akan berkerja selama 4 hari setengah bermula tahun hadapan. Bermula dengan keputusan menukar cuti hujung minggu dari hari Jumaat kepada hari Ahad seperti yang telah dititahkan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengambil langkah yang terkehadapan untuk melaksanakan cuti yang bakal menjadi negeri pertama melaksanakan cuti selama dua hari setengah yang tidak diamalkan oleh mana-mana negeri sebelum ini.
2. Adakah bekerja empat hari seminggu adalah perkara baharu dalam norma kehidupan? Jika di Malaysia jawapannya adalah ‘Ya’ tetapi amalan ini telah dilaksanakan dan dipraktiskan di beberapa negara di dunia. Sejak beberapa tahun yang lalu, cubaan untuk melaksanakan cuti tiga hari seminggu telah dilaksanakan di beberapa buah negara. Contohnya, sebanyak 61 syarikat di seluruh British bekerja secara purata 34 jam sepanjang empat hari antara Jun dan Disember 2022, dengan gaji yang sama tanpa ada pengurangan. 56 syarikat, atau 92 peratus memilih untuk meneruskan jadual kerja seperti itu, dengan 18 daripadanya secara kekal. Ini menunjukkan bahawa percubaan ini telah menghasilkan satu kejayaan yang positif.
3. Awal bulan ini, United Kingdom (UK) melancarkan percubaan pertama minggu kerja empat hari yang disokong kerajaan yang membolehkan lebih 1,000 pekerja bekerja dengan hari yang lebih sedikit tanpa pemotongan gaji. Kempen ini disertai oleh sebanyak 17 syarikat termasuk British Society for Immunology dan Crate Brewery yang mana mereka akan menguji jadual kerja yang lebih pendek, dengan beberapa memilih model kerja sembilan hari dalam dua minggu.
4. Begitu juga di Ireland yang melibatkan 17 Syarikat bermula pada bulan Februari sehingga Ogos 2022 dan percubaan selama empat hari seminggu bekerja di Iceland adalah dilaporkan oleh media sebagai “kejayaan yang luar biasa". Percubaan ini juga dilaksanakan di Amerika Syarikat, di New Zealand, di Sweden, di Scotland, di Sepanyol di Jepun dan beberapa buah negara yang lain. Walaupun kebanyakannya belum teruji, apa yang diharapkan dengan perlaksanaan ini, peningkatan terhadap pengurangan kos, peningkatan produktiviti dan keseimbangan kehidupan kerja dapat dicapai dengan sebaiknya.
5. Cadangan yang dikemukakan ini susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025. Bermakna nanti, hari Jumaat akan bekerja setengah hari bagi memudahkan umat Islam di Johor menunaikan solat Jumaat. Sudah tentulah ia akan memudahkan urusan semua pihak khususnya murid sekolah.
6. Mungkin akan ada suara sinis yang tidak sehaluan dengan cadangan ini namun ia sudah tentulah memberikan impak yang positif kepada pembangunan aspek kekeluargaan yang lebih harmoni. Pernah dahulu apabila kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Aziz Nik Mat memperkenalkan cuti dua hari seminggu sewaktu penggal kedua pemerintahnya bermula pada 1 Januari 1996, pelbagai kritikan dilemparkan namun akhirnya dijadikan ikutan di seluruh negara sehingga ke hari ini. Justeru saya yakin bahawa inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor akan dibudayakan dalam negara kita pada masa akan datang.
Sekian.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, KMN
Pengerusi Kongres Rakyat Negeri Johor
22 November 2024
Ulasan
Catat Ulasan