Kerajaan PN Perlis kembali rapatkan saf
MOHD. Shukri Ramli (dua dari kiri) bersama Abu Bakar Hamzah (dua dari kanan) serta dua lagi Exco baru dilantik Mohd Ridzuan Hashim dan Marzita Mansor di Arau, Perlis kelmarin.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB
27 November 2024, 6:30 am
TIDAK seperti tahun lalu, rombakan dan penyusunan semula barisan exco kerajaan negeri kelmarin cukup tenang. Tidak ada lagi ‘ribut’ atau rasa tidak puas hati, semuanya berjalan lancar.
Ironinya, pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas dua kali diketepikan sebelum ini, dilihat mampu mengharmonikan semula keadaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis pimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Malah, pelantikan Abu Bakar itu juga bertepatan dengan hierarki memandangkan beliau adalah orang nombor satu Bersatu di Perlis selain Timbalan Pengerusi PN negeri yang sepatutnya sudah lama mendapat tempat dalam pentadbiran atau menjadi Exco kanan.
Keputusan Mohd. Shukri memilih Abu Bakar kali ini yang juga sebagai Exco kanan turut dilihat sebagai langkah tepat, merapatkan semula saf di dalam PN negeri khususnya bagi mempertahankan kerajaan negeri dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sebagai Pengerusi PN negeri dan juga Menteri Besar, Mohd. Shukri yang berkarakter lebih tenang boleh menumpukan terhadap kerja-kerja pentadbiran kerajaan negeri, mencari pelaburan dan sebagainya.
Abu Bakar, sosok tubuh yang lantang antara lain pula boleh menjadi benteng dalam mempertahankan kerajaan negeri dan PN sekiranya diserang pihak lawan.
Situasi itu mengingatkan saya semasa bertugas di Kelantan dahulu di mana Menteri Besar pada masa itu, Datuk Ahmad Yakob yang tenang, lebih memfokuskan kepada negeri manakala timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ibarat panglima perang yang menangkis serangan pihak lawan atau sering menjadi jurucakap kepada kerajaan.
Dari segi susunan portfolio kali ini dilihat antara paling sempurna dengan Exco-Exco diberi peranan memegang portfolio yang dilihat bertepatan dengan kelebihan masing-masing.
Gandingan Exco yang kekal dan mereka yang baharu dilantik termasuk ADUN Sena, Datin Marzita Mansor dan ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim diharap akan lebih agresif demi kemajuan negeri dan rakyat Perlis.
Mohd. Shukri juga memberi jaminan barisan Exco kerajaan negeri termasuk yang baru dilantik itu akan dikekalkan sehingga berakhirnya penggal pentadbiran kerajaan PN di Perlis.
Malah, bekas-bekas Exco yang digugurkan sebelum ini juga tidak akan dipinggirkan kerana pengalaman mereka masih diperlukan khususnya dalam jawatankuasa-jawatankuasa dibentuk kerajaan negeri.
Rombakan kelmarin menyaksikan dua Exco dari Bersatu iaitu Megat Hashirat Hassan yang juga ADUN Pauh dan Wan Zikri Afhtar Ishak juga merupakan ADUN Tambun Tulang digugurkan.
Exco yang kekal pula masing-masing Izizam Ibrahim, Muhammad Azmir Azizan, Asrul Aimran Abd. Jalil, Razali Saad dan Wan Badariah Wan Saad yang menyaksikan komposisi lima wakil dari Pas dan tiga Bersatu.
Dalam tempoh berbaki dua atau tiga tahun sebelum pilihan raya, barisan Exco yang diberi amanah ini perlulah bekerja dengan lebih mantap dan agresif sebagai mana titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan