Konsep Lean, ergonomik lahirkan pekerja produktif, sejahtera




Konsep Lean, ergonomik lahirkan pekerja produktif, sejahtera
Oleh Dr Mohd Zubairy Shamsudin - November 12, 2024 @ 12:39pm

Industri di negara membangun seperti Malaysia terutama sektor pengeluaran berdepan cabaran globalisasi, persaingan sengit dan keperluan beralih kepada teknologi lebih maju serta lestari.

Namun, perusahaan pengeluaran perlu menerapkan pendekatan lebih efisien untuk kekal kompetitif. Pendekatan Lean kini semakin popular, digabungkan prinsip ergonomik, menjadi kunci penting.

Kedua-duanya membentuk asas penting meningkatkan kecekapan operasi dan kesejahteraan pekerja, sekali gus terbukti berkesan dalam pelbagai sektor pembuatan dan perkhidmatan hingga diterima pakai di seluruh dunia.

Lean berasal daripada Sistem Pengeluaran Toyota (TPS), menjadi falsafah pengurusan memberi tumpuan terhadap pengurangan pembaziran dalam proses kerja.

Ia merangkumi lima prinsip utama, iaitu mengenal pasti nilai dalam produk atau perkhidmatan, memetakan aliran nilai, mencipta aliran berterusan, melaksanakan pull system dan melakukan penambahbaikan berterusan (kaizen).

Melengkapi Lean, ergonomik pula bidang sains mengkaji interaksi antara manusia dengan persekitaran kerja membabitkan aspek fizikal, mental dan organisasi untuk memastikan pekerja beroperasi dalam keadaan paling efisien dan selamat.


Dengan menganalisis faktor seperti postur kerja, beban kerja, pencahayaan, bunyi, dan suhu, ergonomik membantu mengurangkan ketegangan fizikal serta mental, sekali gus meningkatkan keselesaan pekerja, yang secara langsung menyumbang kepada pengurangan kecederaan dan keletihan.

Penggunaan pendekatan ergonomik di tempat kerja bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, bahkan menambah motivasi dan kepuasan kerana berasa dihargai dan diberi perhatian terhadap keperluan mereka.

Hasil penggabungan Lean dan ergonomik, pelbagai faedah dapat diterima terutama pengurangan pembaziran melalui pengoptimuman proses, manakala penghapusan pergerakan tidak perlu membantu mengurangkan postur kerja memenatkan.

Susun atur tempat kerja lebih sesuai dengan sifat manusia bukan sahaja menyumbang peningkatan kecekapan, bahkan mengurangkan risiko kecederaan, terutama dalam industri pembuatan sering memerlukan kerja berat dan berulang.

Bagi memastikan keberkesanan berterusan, konsep kaizen menjadi teras Lean turut diterapkan dalam aspek ergonomik. Penilaian dan penyelarasan berterusan dilakukan dengan membabitkan maklum balas pekerja.

Pembabitan aktif pekerja amat penting kerana mereka paling memahami cabaran dalam kerja harian, membolehkan organisasi mengenal pasti dan menangani isu ergonomik lebih berkesan.

Justeru, perubahan dapat dilaksanakan berperingkat, meningkatkan produktiviti sambil memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa menjadi keutamaan.

Dalam aspek pelaksanaan praktikal, beberapa elemen utama diberi keutamaan. Reka bentuk tempat kerja memerlukan penyesuaian ketinggian permukaan kerja dan penggunaan alat bantu sesuai.

Peralatan diatur mengikut kekerapan penggunaan untuk mengurangkan pergerakan tidak perlu, manakala sistem penggiliran kerja mengekang tekanan berterusan pada bahagian badan tertentu dan meningkatkan aspek kesejahteraan psikologi serta psikososial.

Semua ini disokong prosedur kerja standard dan program latihan berkala untuk memastikan pematuhan konsisten.

Kesan positif dapat dilihat melalui pelbagai petunjuk prestasi, termasuk pengurangan kes gangguan muskuloskeletal, penurunan kadar ketidakhadiran pekerja, peningkatan kualiti produk, pengurangan kos operasi, dan peningkatan kecekapan keseluruhan.

Realitinya, gabungan Lean dan ergonomik membuktikan produktiviti serta kesejahteraan pekerja boleh dicapai serentak. Dalam era pembuatan moden semakin kompetitif, syarikat berjaya menggabungkannya dengan berkesan bakal memperoleh kelebihan daya saing ketara, terutama cabaran globalisasi dan kemajuan teknologi.

Pendekatan holistik bukan sahaja menjamin kelestarian operasi, bahkan membangunkan modal insan lebih sihat dan produktif. Oleh itu, pelaburan dalam Lean dan ergonomik perlu diberikan perhatian, sekali gus menjadi pelaburan strategik memberi nilai jangka panjang.

Penulis adalah Penolong Profesor Faktor Manusia dan Ergonomik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Ulasan