Korea Utara, Russia meterai perjanjian pertahanan
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
12 November 2024, 10:02 pm
SEOUL : Korea Utara telah meratifikasi perjanjian pertahanan bersama Rusia yang ditandatangani oleh kedua-dua pemimpin negara, Jun lalu.
Menerusi perjanjian itu, setiap pihak perlu saling membantu sekiranya berlaku serangan bersenjata, lapor media kerajaan KCNA.
Laporan itu muncul di tengah-tengah kritikan antarabangsa terhadap peningkatan kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara, dengan Korea Utara telah menghantar puluhan ribu askar ke Russia untuk menyokong perang negara itu terhadap Ukraine.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menandatangani dekri untuk meratifikasi perjanjian tersebut pada Isnin, menurut KCNA, yang menyatakan perjanjian itu akan berkuat kuasa setelah kedua-dua pihak bertukar instrumen ratifikasi.
Presiden Russia, Vladimir Putin turut menandatangani perjanjian itu sebagai undang-undang menetapkan kedua-dua negara perlu segera menyediakan bantuan ketenteraan dan menggunakan semua cara yang ada jika salah satu pihak berada dalam keadaan perang.
Kim memeterai perjanjian dengan Putin dalam sidang kemuncak pada Jun lalu, dengan menyifatkannya sebagai langkah untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap sekutu.
Sebelum ini, Seoul, Washington, dan Kyiv mendakwa terdapat lebih 10,000 askar Korea Utara di Russia, manakala pegawai AS dan Menteri Pertahanan Ukraine mengesahkan sebahagian daripada mereka telah terlibat dalam pertempuran di Kursk, berhampiran sempadan Ukraine.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, askar Korea Utara terkorban dalam pertempuran dengan tentera negaranya, minggu lalu.
Ia adalah pertempuran pertama yang membuka lembaran baharu dalam ketidakstabilan dunia.
Sebelum ini, Tentera Russia menempatkan 50,000 askarnya termasuk dari Korea Utara di Kursk, susulan daripada serangan mengejut yang dilakukan oleh Ukraine ke atas wilayah tersebut, Ogos lalu. -AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan