Laut China Selatan: Pertikaian tidak sampai jadi konflik
MOHAMED KHALED NORDIN
Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
12 November 2024, 6:50 am
KUALA LUMPUR: Pertikaian sempadan di Laut China Selatan tidak akan bertukar menjadi konflik serantau kerana semua negara bersetuju dengan pendekatan diplomasi.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semua negara ASEAN bersetuju berhubung perkara-perkara pertikaian, mesti berdasarkan undang-undang antarabangsa dan konvensyen undang-undang laut.
Malah kata beliau, Malaysia sendiri akan menggunakan pendekatan diplomasi, iaitu memanfaatkan hubungan baik dengan China dan kedudukan dalam ASEAN sama ada di peringkat ketua kerajaan atau dalam kalangan menteri-menteri pertahanan dalam situasi berkenaan.
“Kita telah menandantangi Deklarasi Perilaku Pihak-pihak (DOC) antara ASEAN dan China pada 2002, yang mana dalam perjanjian itu, semua negara ASEAN mengambil pendekatan ‘kekal’ untuk memastikan pendekatan yang diambil di Laut China Selatan tidak meningkatkan ketegangan di lapangan.
“Ketika ini kita sedang berunding mengenai Kod Tata Kelakuan (COC) di Laut China Selatan supaya dapat mengelakkan konflik dan ketegangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa, beliau memberitahu, Malaysia akan terus membuat bantahan atau protes secara konsisten sekiranya mendapati mana-mana kapal termasuk dari China memasuki ke kawasan perairan milik Malaysia.
“Malaysia akan mengeluarkan notis bantahan sekiranya berlaku tuntutan sama ada daripada China, Filipina, Brunei atau Vietnam.
“Selain itu, kita laksanakan pelbagai operasi dan kawalan secara bersepadu bersama tentera udara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim. Yang penting memperagakan kehadiran di semua kawasan-kawasan kita.
“Ini termasuk memastikan kesedaran dominan maritim. Maknanya kita ambil tahu, apa yang ada di kawasan itu seperti jenis batu dan mineral kerana kita buat tinjuan untuk memastikan ini kawasan kita,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan