Letupan di Lubnan: ATM sahkan enam anggota MALBATT cedera ringan
08 November 2024 07:11am
Masa membaca: 2 minit
Insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.
KUALA LUMPUR -Seramai enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) disahkan mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 petang waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia hari ini.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan malam ini memaklumkan letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
"Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota daripada MALBATT 850-12 yang mengalami pelbagai kecederaan ringan.
"Seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki patah tertutup pada lengan kiri) dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang turut mengalami cedera ringan,” menurut kenyataan tersebut.
ATM memaklumkan anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11.
"ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa.
"ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Semalam, penghantaran pertama pasukan MALBATT 850-12, melibatkan 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam bermula semalam hingga 18 November ini. - Bernama
Ulasan
Catat Ulasan