Naikkan pangkat Menteri Kewangan II ganti Anwar



Naikkan pangkat Menteri Kewangan II ganti Anwar
November 13, 2024


KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) melontarkan cadangan terbuka supaya Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ‘dinaikkan pangkat’ menjadi Menteri Kewangan menggantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut dikemukakan beliau ketika bangun mencelah dalam sesi ucapan penggulungan Kementerian Kewangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2025) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini malam tadi.

“Menteri Kewangan II kita ni sangat perform-lah, seorang teknokrat yang profesional. Saya cadang bolehlah naikkan pangkat beliau jadi full Menteri Kewangan yang penuh kerana YAB Tambun (Anwar) kita faham dah sedia sangat sibuk.

“Jadi aa YB Senator (Amir) kita boleh jadi Menteri Kewangan yang penuh dan sangat-sangat sesuai untuk diasingkan jawatan Menteri Kewangan daripada jawatan Perdana Menteri,” ujarnya yang terdahulu bangun bertanya mengenai Rizab Antarabangsa Bank Negara.

Cadangan Syahir itu juga dipercayai berkait dengan usaha untuk menjaga integriti dan mengelak konflik kepentingan apabila portfolio sebagai Menteri Kewangan dijawat sama oleh Perdana Menteri, malah ia isu dan janji pernah diperjuangkan pemimpin PKR.

Turut bangun mencelah pada ketika itu adalah Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai kedudukan Ringgit dan kedudukan sebenar ekonomi negara pada ketika ini.

Bagaimanapun perkara-perkara diajukan beliau turut dicelah ganggu oleh Chong Zhemin (PH-Kampar) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(12) mendakwa Shahidan sebagai mengelirukan Dewan.

Datuk Amir Hamzah dalam jawapannya memberitahu bahawa Rizab Bank Negara pada bulan Februari lalu pada tahap USD113 bilion berbanding kini USD117.6 bilion di mana Ringgit telah sedikit mengukuh.

“Dengan itu kita ada pada tahap simpanan yang cukup untuk menyokong import dalam negara lebih pada 4.8 kali. Ini lebih pada saranan daripada World Bank dengan IMF semua ya. Saya rasa itu tak ada isu yang yang besar untuk Bank Negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024

Ulasan