PAS Johor timba pengalaman dari Kelantan
November 13, 2024
KOTA BHARU: Jawatankuasa Harian PAS Johor telah membuat kunjungan hormat ke Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan semalam.
Rombongan yang diketuai Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Husin mengambil masa sehari sempena lawatan rombongan seramai tujuh orang itu.
Kedatangan mereka disambut oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Ahmad Yakub, di sini semalam.
Mereka turut mendengar taklimat rasmi berhubung PAS Negeri Kelantan dari Pesuruhjaya PAS Kelantan, sebagai sebuah parti yang mendukung kerajaan negeri selama 34 tahun.
Pertemuan yang mengambil masa beberapa jam itu lebih berkisar mengenai perkembangan Kerajaan Negeri Kelantan dan di peringkat parti di negeri ini.
Terdahulu pada sebelah paginya, rombongan disambut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat di Pejabat Perhubungan PAS Negeri, di sini.
Rombongan terlebih dahulu diraikan dengan sarapan nasi berlauk serta beberapa menu masyhur di Kelantan seperti nasi kerabu, serunding dan dodol.
Wan Roslan mengucapkan terima kasih kepada Badan Perhubungan PAS Johor di atas kesudian rombongan mengunjungi negeri itu.
Menurutnya, semoga pertemuan ini lebih mengeratkan lagi hubungan antara kedua belah pihak yang sentiasa terjalin.
“Kita bersedia menanti dan menunggu rakan-rakan kita dari PAS untuk bertemu kita di sini, insya Allah,” katanya ketika dihubungi. – HARAKAHDAILY 13/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan