Pempengaruh media sosial punca belia dibebani hutang?



Pempengaruh media sosial punca belia dibebani hutang?
Oleh NAZIM SYAZWI
4 November 2024, 7:35 am

PETALING JAYA: Generasi muda di negara ini terjebak dalam pengurusan kewangan yang tidak bijak dan beban hutang akibat terpengaruh dengan gaya hidup mewah yang dipaparkan oleh pempengaruh dalam media sosial.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, selain faktor pengetahuan pengurusan kewangan peribadi yang kurang, pengaruh media sosial juga agak keterlaluan yang menyebabkan remaja kerap berbelanja untuk memenuhi kehendak semasa.

Jelasnya, kemudahan kredit yang begitu banyak terutamanya sistem ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) menyebabkan ramai yang terbeban dengan pelbagai bentuk hutang.

“Impak negatif yang bakal dihadapi negara ialah berkurangnya tenaga kerja tempatan yang produktif dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ia juga boleh menyebabkan masalah sosial dan kesihatan mental yang akan meningkatkan kos kebajikan dan kesihatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan seba­nyak 53,000 individu golongan muda di negara ini iaitu yang berusia ba­wah 30 tahun sudah dibebani hu­­tang berjumlah hampir RM1.9 bilion.

Sependapat itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, generasi muda sekarang mudah terpengaruh dengan trend terkini seperti memaparkan kehidupan mewah yang akhirnya terperangkap dalam dunia hutang.

Menurutnya, apa yang dipaparkan oleh golongan muda atau pempengaruh adalah jauh berbeza daripada realiti dunia sebenar.

“Negara sememangnya mempunyai golongan orang muda yang boleh maju ke hadapan dan mampu memimpin ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tetapi disebabkan masalah hutang yang membelenggu, ia membantutkan proses ini, sekali gus memberi kesan kepada semua aspek termasuk keluarga, masa depan dan pembangunan negara,” ujarnya.

Ulasan