RM35,000 dikumpul untuk mangsa banjir Tumpat
November 23, 2024
TUMPAT: Sebanyak RM35,000 sumbangan untuk mangsa banjir berjaya dikumpul pada majlis Jamuan Laksa Kutipan Dana Bencana Khidmat Malaysia Tumpat.
Sumbangan berkenaan diperolehi dari wakil-wakil rakyat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pimpinan masyarakat, Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak, PAS Kawasan Tumpat serta syarikat-syarikat swasta.
Jumlah berkenaan tidak termasuk sumbangan orang ramai yang datang pada majlis berkenaan.
Dirasmikan bekas Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakub, majlis yang diadakan di Padang Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Ibadurrahman, Taman SPP Kota Warisan, dekat sini hari ini.
Komander Khidmat Malaysia Kawasan Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berharap masih ramai lagi pihak yang akan menyalurkan sumbangan pada pihaknya.
Mumtaz berkata, pihaknya memerlukan lebih RM50,000 untuk perbelanjaan bagi membantu mangsa banjir dalam Parlimen Tumpat.
“Kami amat berharap, kita dapat sama-sama menyalurkan sumbangan, bantu saudara mara kita yang sentiasa berhadapan dengan masaalah banjir.
“Namun kita tetap berharap semoga banjir tahun ini hanya pada paras biasa sahaja tidak terlalu besar, sama-sama kita berdoa,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut hari ini.
Tambahnya, fungsi Khidmat Malaysia bukan hanya untuk membantu mereka yang terkesan banjir, tetapi juga bencana seperti kebakaran, ribut dan lain-lain.
Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, terdapat empat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di dalam Parlimen Tumpat, berbanding Parlimen lain hanya mempunyai tiga DUN.
Bagi menjayakan hasrat itu menurut Mumtaz, pihaknya akan membuka infaq di tempat-terbuka termasuk pasar bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan.
Turut hadir pada majlis itu, Penyelaras Khidmat Malaysia Tumpat, Mohd Adanan Hassan yang juga ADUN Kelaboran serta Timbalan Komander, Mohd Rosli Abdullah (ADUN Wakaf Bharu) dan lain-lain pimpinan. – HARAKAHDAILY 23/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan