RM725 bilion tidak ubah nasib rakyat


RM725 bilion tidak ubah nasib rakyat
SEBAHAGIAN penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) beratur untuk mengambil bantuan tersebut di Bank Simpanan Nasional (BSN). - Gambar hiasan
Oleh JUANI ABU BAKAR
18 November 2024, 7:00 am

PETALING JAYA: Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM725 bilion dengan purata tahunan RM30 bilion kepada penerima pelbagai program bantuan sosial dalam tempoh 23 tahun sejak tahun 2000.

Berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi 2025, perbelanjaan itu meliputi 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh tersebut.

Ini kerana setiap tahun, kerajaan menerusi belanjawan menaikkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion pada 2024 untuk disumbangkan kepada lapan juta penerima. Jumlah itu bertambah kepada RM13 bilion pada 2025 membabitkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

Pensyarah Ekonomi Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, selain memfokuskan bantuan sosial untuk golongan rentan, kerajaan dicadangkan melihat semula mekanisme untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan memberi kemahiran kepada penerima agar mereka boleh keluar daripada kemiskinan.

Menurut beliau, keseimbangan antara menyalurkan bantuan sosial dan membantu mereka untuk hidup berdikari sekali gus meningkatkan taraf ekonomi masing-masing perlu diambil kira untuk mencapai matlamat menoktahkan kemiskinan kumpulan tersebut.

Beliau berkata, dengan mengambil konsep ‘beri pancing, bukan ikan selamanya’, program bantuan sosial harus berfokus dan seharusnya hanya dalam kalangan warga emas yang tidak mampu berkerja untuk menyara kehidupan, bukannya kumpulan belia yang masih mempunyai masa depan.

“Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang kukuh untuk memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melalui pemberian bantuan tunai. Namun kumpulan itu tidak boleh selamanya atau terlalu bergantung kepada bantuan sahaja, tanpa mereka dibawa keluar daripada masalah.

“Jika ini berlaku, maka akan berlaku situasi seperti di beberapa tertentu apabila terdapat gelandangan hanya menanti bantuan di jalanan kerana mereka tidak dibantu mengubah kehidupan apatah lagi untuk memiliki kediaman sebagai tempat perlindungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Nik Maheran, selama ini, kerajaan menyediakan peruntukan fiskal yang besar bagi pelbagai program bantuan sosial dan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat .

“Peruntukan yang disediakan diagihkan sama ada dalam bentuk pindahan tunai dan barangan serta pelbagai subsidi.

“Sebagai contoh, kerajaan pada setiap tahun memfokuskan jaringan bantuan sosial dalam pembentangan belanjawan yang bukan sahaja merangkumi STR, tetapi juga bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan keselamatan sosial dan orang kurang upaya,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata, selepas lebih 20 tahun, konsep program bantuan sosial perlu diubah dengan memfokuskan meningkatkan kemahiran dan menambah pendapatan selain mencipta peluang pekerjaan baharu bagi membantu kumpulan tersebut.

Beliau memberi contoh, bantuan STR untuk penerima kategori bujang berusia 21 tahun ke atas seharusnya seiring dengan inisiatif untuk meningkatkan kemahiran pekerja bergaji rendah sekali gus berupaya menjana pendapatan lebih tinggi.

Katanya, kejayaan sesebuah program sosial bukanlah perlu dilihat sejauh mana kerajaan berjaya menyalurkan bantuan, sebaliknya kerajaan perlu berjaya mendidik mereka daripada ketidakmampuan dan akhir boleh keluar daripada senarai penerima bantuan.

“Walaupun kerajaan telah memperuntukkan peruntukkan yang besar kepada program penerima bantuan tunai, pembaharuan secara berkala penting untuk meningkatkan keberkesanan program tersebut,” katanya.

Menurut Nik Maheran, pemantauan lebih berkesan perlu dilakukan yang bertujuan untuk memastikan pengagihan sumber peruntukan yang lebih saksama dan cekap bagi meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya kepada golongan yang memerlukan. – UTUSAN

Ulasan