Saintis bagi amaran lelaki mungkin pupus
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
13 November 2024, 10:05 am
MELBOURNE : Golongan saintis memberi amaran kromosom Y, yang menentukan jantina lelaki, semakin mengecil dan mungkin menyebabkan kepupusan lelaki pada masa depan.
Kromosom X dan Y berfungsi menentukan jantina bagi manusia dan mamalia; lelaki memiliki kromosom X dan Y, manakala wanita memiliki dua kromosom X.
Walaupun kromosom ini hanya membentuk empat peratus daripada DNA seseorang, ia mencipta perbezaan yang besar dalam kehidupan.
Namun, menurut Pakar Genetik Australia, Prof. Jenny Graves, kromosom Y kini menunjukkan tanda-tanda penyusutan, yang berpotensi membawa kepada masa depan tanpa lelaki.
Kromosom Y memiliki hanya 45 gen, termasuk satu gen yang menentukan jantina lelaki, jauh berbeza berbanding dahulu apabila kromosom Y mempunyai sekitar 900 gen dan menyerupai kromosom X.
“Kromosom Y berada dalam testis dan terdedah kepada banyak mutasi akibat keperluan pembahagian sel yang tinggi untuk menghasilkan sperma,” jelas Graves kepada Science Focus.
Kromosom ini juga sukar memperbaiki dirinya kerana tidak mempunyai pasangan untuk bertukar DNA seperti kromosom lain.
Berbanding kromosom X yang kekal stabil, kromosom Y telah kehilangan 97 peratus daripada gen asalnya, bahkan lalat buah telah kehilangan kesemua kromosom Y mereka.
Bagaimanapun, Graves berpendapat kepupusan ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana berdasarkan kiraannya, kromosom Y masih akan bertahan selama enam hingga tujuh juta tahun lagi.
Selepas itu, Graves mencadangkan gen penentu jantina baharu mungkin muncul, sebagaimana yang berlaku dalam beberapa spesies tikus.
“Orang ramai tidak perlu bimbang secara berlebihan. Kepupusan kromosom Y ini adalah proses semula jadi dalam evolusi,” tambah Graves. – AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan