Samsuri dianugerah pangkat Brigedier Jeneral Kehormat
Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Terengganu
November 26, 2024
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral Kehormat dan dilantik sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Terengganu.
Pemakaian Pangkat Tauliah Kehormat kepada beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman itu telah disempurnakan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman.
Pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan syor Majlis Angkatan Tentera Ke-580 dan upacara pemakaian pangkat tersebut telah dilangsungkan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Majlis juga memakaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dengan pangkat Mejar Jeneral Kehormat dan dilantik sebagai Pengerusi Sidang Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela Se-Malaysia.
Manakala Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Seri Dato’ Paduka Prof Dr Fng Ah Seng dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral Kehormat sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang.
Pelantikan kedua-dua mereka telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan syor Majlis Angkatan Tentera Ke-622 dan majlis itu telah diadakan pada upacara pemakaian pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah.
Turut hadir adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Juga Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan Atan serta Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat. – HARAKAHDAILY 26/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan