Selepas hampir 3 dekad, pengusaha stesen minyak dibenar gajikan pekerja asing di kafe, kedai runcit
Oleh Ilah Hafiz Aziz - November 19, 2024 @ 10:36pm
KUALA LUMPUR: Selepas hampir 30 tahun, kerajaan secara dasar bersetuju memberikan kebenaran kepada pengusaha stesen minyak menggaji pekerja asing bagi kerja-kerja pembersihan serta pencucian di kafe dan kedai runcit stesen minyak.
Perkara itu diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang mempengerusikan mesyuarat pengurusan pekerja asing secara bersama, hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun menjelaskan tiada keperluan untuk menambah jumlah pekerja asing baharu dalam sektor itu, sebaliknya ia akan diadakan secara mekanisme pertukaran majikan.
"Sejak 1995, Kabinet memutuskan pembekuan pekerja asing untuk berkhidmat di stesen minyak disebabkan premis di negara ini melaksanakan sepenuhnya sistem khidmat layan diri. Ia bermakna, tidak dibenarkan pekerja asing untuk digajikan (pengusaha stesen minyak).
"Namun evolusi berlaku dari 1995 hingga sekarang dengan stesen minyak juga mempunyai kedai dan kafe serta perkhidmatan-perkhidmatan lain. Kerana itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebagai agensi kawal selia bagi sektor itu, hari ini mengemukakan satu cadangan supaya membenarkan semula penggajian pekerja asing oleh pengusaha stesen minyak bagi tujuan perkhidmatan pencucian, pembersihan dan sebagainya.
"Namun ia tidak akan membabitkan penambahan kuota tambahan. Sekarang kita ada lebih kurang 4,000 stesen minyak di seluruh negara dan keperluan pekerja asing ini adalah lebih kurang 40,000. Jadi dalam sektor ini ia adalah segmen pekerja asing selain adanya pekerja tempatan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Beliau mempengerusikan meyuarat itu bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim. Yang turut hadir Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan KSU KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusoff.
Pembekuan pengambilan pekerja asing untuk sektor stesen minyak di Malaysia pada 1995 adalah satu langkah kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan membuka peluang kepada pekerja tempatan.
Langkah itu juga bertujuan menyokong dasar-dasar berkaitan pengurangan lambakan pekerja asing serta menggalakkan majikan untuk memanfaatkan tenaga kerja tempatan, termasuk penggunaan khidmat layan diri di stesen minyak.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, mesyuarat antara KDN dan KESUMA hari ini juga memutuskan untuk mengekalkan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing akan diteruskan sehingga tahun depan.
Katanya, jawatankuasa turut memutuskan keputusan itu akan dinilai semula pada suku pertama tahun hadapan, berdasarkan data-data baharu yang diperoleh daripada Menteri Ekonomi.
"Kita ambil maklum, siling 15 peratus daripada 17.2 juta pekerja di negara ini memberikan seramai 2.58 juta pekerja asing dan ketika ini defisit jurang itu tinggal 45,000 sahaja.
"Oleh demikian, kita memutuskan untuk mengekalkan keputusan pembekalan kuota pekerja asing yang sepatutnya berakhir September lalu.
"Namun perkara ini akan dinilai semula dalam mesyuarat bersama yang akan diadakan pada suku pertama tahun depan berdasarkan data-data yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi," katanya.
Sementara itu, Sim berkata, berlaku trend penurunan kemasukan warga asing ke negara ini Mei lalu, hasil kerjasama padu antara KDN dan KESUMA.
Beliau memberi contoh, daripada 176 majikan dalam sektor perladangan yang memohon, sejumlah 30 peratus ditolak oleh KESUMA atas faktor-faktor tertentu.
"Kita amat tegas dalam soal pengambilan pekerja asing antaranya tidak lagi boleh menggunakan eje untuk memohon bagi pihak majikan sebaliknya hanya majikan sahaja yang boleh memohon penggajian pekerja asing," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan