Siap siaga lebih awal hadapi risiko bencana, banjir di musim tengkujuh


Siap siaga lebih awal hadapi risiko bencana, banjir di musim tengkujuh

Monsun Timur Laut secara zahirnya sudah pada awal bulan ini dan berlanjutan sehingga Mac tahun hadapan. Musim monsun ini dikaitkan dengan musim tengkujuh di Malaysia susulan kadar hujan lebat dan kerap berlaku sepanjang tempoh ini dan lazimnya mengakibatkan bencana banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Hujan lebat berserta banjir boleh menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur negara terutamanya jalan raya yang menjadi nadi utama penghubung masyarakat dan ekonomi. Kerosakan infrastruktur jalan mendatangkan kerugian besar kepada negara terutama dari segi ekonomi serta kos membaik pulih.

Selain itu, hujan lebat dan banjir boleh menyebabkan hakisan permukaan jalan yang mana aliran air deras ketika hujan lebat dan banjir boleh menghakis jalan, menyebabkan jalan menjadi berlubang dan licin. Banjir dan hujan lebat boleh menyebabkan runtuhan tebing tepi jalan akibat struktur tanah lemah.

Semua fenomena ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa, penutupan jalan dan kerosakan kepada struktur jalan. Kerosakan pada sistem saliran akibat banjir menyebabkan air bertakung di atas jalan lalu merosakkan lapisan asas jalan. Banjir pula merosakkan jambatan dan jejantas yang menjadi penghubung jalan sekiranya aliran air banjir melebihi kapasiti reka bentuk struktur jambatan serta jejantas.

Kerosakan jalan akibat hujan lebat dan banjir memberi kesan kepada pengguna jalan raya dan ekonomi negara. Jalan berlubang dan runtuhan tebing boleh menyebabkan kemalangan yang mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Tambahan pula, kerosakan jalan menyebabkan aktiviti ekonomi negara terjejas apabila jalan rosak mengganggu pergerakan logistik dan barangan, seterusnya menjejaskan sektor pertanian, perniagaan dan industri.


Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menanggung kos tinggi untuk membaik pulih jalan dan infrastruktur terjejas, sekali gus membebankan ekonomi negara.

Memandangkan kesan kerosakan infrastruktur jalan akibat hujan lebat dan banjir memberi impak sangat besar kepada orang awam dan pihak berkuasa, langkah persediaan sebelum banjir besar perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan risiko kerosakan jalan boleh dielakkan.

Kejadian banjir akibat hujan lebat dapat dielakkan sekiranya sistem saliran diselenggara dengan baik. Semua saliran, termasuk longkang, parit dan pembetung perlu dibersihkan dalam tempoh terdeka ini secara berkala untuk mengelakkan tersumbat. Sistem saliran tersumbat menyebabkan air bertakung, menjadi punca banjir dan akhirnya merosakkan jalan.

Sistem saliran sepatutnya ditambah di kawasan sering dilanda banjir. PBT boleh memasang saliran tambahan atau memperbesarkan sistem saliran sedia ada bagi memastikan aliran air lancar ketika hujan lebat. Pemasangan pam air di kawasan kritikal mudah bertakung air perlu dilakukan bagi memastikan air segera dialihkan sebelum menyebabkan banjir besar berlaku.

Infrastruktur jalan juga perlu diperkukuhkan dengan menggunakan bahan lebih tahan air dan tahan lasak, seperti asfalt dipertingkatkan atau konkrit kukuh untuk mengurangkan kerosakan. Dinding penahan air perlu dipasang di kawasan berdekatan sungai atau kawasan rendah bagi menghalang banjir melimpah ke jalan raya.

Jambatan dan laluan utama perlu diperiksa serta diperkukuhkan untuk menghadapi aliran air deras ketika banjir. Struktur ini perlu diselenggara dengan baik dan diperkuatkan jika perlu.

Tebing atau cerun tepi jalan perlu ditanam dengan pokok atau rumput sesuai untuk mengukuhkan struktur tanah serta mengurangkan risiko hakisan tebing yang boleh menyebabkan tebing tepi jalan runtuh dan membahayakan pengguna jalan raya.

Pemasangan tanda amaran di kawasan kerap mengalami banjir perlu dilakukan untuk memaklumkan pemandu mengenai risiko banjir dan kawasan jalan berbahaya bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya akibat banjir.

Pusat kawalan trafik perlu ditubuhkan untuk mengarahkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya sekiranya banjir berlaku, ini dapat mengelakkan kesesakan dan risiko kemalangan.

Sekatan jalan sementara juga perlu diadakan di kawasan dikenal pasti berisiko berdepan bencana banjir atau tanah runtuh untuk mengelakkan pemandu menggunakan jalan terjejas akibat banjir dan ini boleh mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Salah satu aspek yang perlu diberi tumpuan ialah mewujudkan sistem pemantauan cuaca berterusan lebih canggih untuk mengesan hujan lebat dan mengeluarkan amaran awal kepada pihak berkuasa serta masyarakat bagi mengurangkan kesan dan risiko banjir kepada orang awam termasuk infrastruktur awam.

Latihan kecemasan kepada masyarakat juga perlu diadakan lebih kerap atau berkala supaya masyarakat tahu merancang pelan kecemasan, memeta laluan selamat dan langkah keselamatan sewajarnya perlu diambil jika banjir berlaku.

Kempen kesedaran pentingnya menjaga sistem saliran, mengelak membuang sampah ke dalam longkang dan mengetahui risiko laluan sering banjir perlu diadakan bagi mengelak risiko banjir.

Persediaan rapi sebelum musim tengkujuh atau banjir besar adalah penting untuk melindungi infrastruktur jalan raya dan keselamatan orang awam. Semua pihak, termasuk pihak berkuasa dan masyarakat, perlu berganding bahu dalam memastikan jalan raya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat, terutama semasa keadaan cuaca buruk ketika musim tengkujuh.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa

Ulasan