Takiyudin dicadang Setiausaha Agung PN yang baharu menggantikan Hamzah yang kini Timbalan Presiden BERSATU
November 26, 2024
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan agar memilih dan melantik Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu.
Ketua Pemuda PN, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden selaku juga Ketua Pemuda PAS berkata, ia bagi menggantikan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin yang telah diberi mandat baru sebagai Timbalan Presiden BERSATU.
“Cadangan ini adalah sesuai dengan pengalaman dan senioriti YB Datuk Seri Takiyuddin di dalam PN, lebih-lebih lagi beliau sebelum ini adalah merupakan Timbalan Setiausaha Agung PN,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, sebelum ini merupakan Setiausaha Agung BERSATU dan telah diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden BERSATU pada Pemilihan parti tersebut, 2 November lalu.
Beliau penyandang sulung jawatan Setiausaha Agung komponen yang kini dianggotai bersama oleh PAS, BERSATU, GERAKAN dan MIPP itu sejak daripada awal pembentukan PN pada tahun 2020 dan Setiausaha Agung BERSATU sejak tahun sama.
Takiyuddin pula adalah bekas Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan hingga kini merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu yang dilantik sebagai Setiusaha Agung PAS sejak dari tahun 2015. – HARAKAHDAILY 26/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan