Tinggalkan semua urusan, wajib pergi solat Jumaat

Tinggalkan semua urusan, wajib pergi solat Jumaat
MOHD. FARED MOHD. KHALID
Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
27 November 2024, 6:50 am

ISKANDAR PUTERI: Semua pemilik, pekerja dan pelanggan dalam kalangan lelaki Islam diwajibkan meninggalkan sementara semua urusan termasuk operasi restoran untuk menunaikan solat Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kelonggaran hanya diberi kepada individu bukan Islam dan wa­nita Muslim untuk meneruskan operasi perniagaan dan urusan mereka seperti biasa.

“Orang yang kena tinggalkan urusan jual beli adalah lelaki Muslim, maka orang ini jangan berniaga, jangan bekerja dan jangan masih makan ketika waktu solat.
PENGUATKUASAAN

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan melakukan penguatkuasaan bagi memastikan semua lelaki Muslim di Johor menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini semalam.

Mengulas tentang pertukaran cuti hujung minggu Johor ke Sabtu dan Ahad, beliau sedia menerima pandangan golongan ibu bapa yang cakna terhadap pakaian pada sesi sekolah agama pada hari Jumaat.

“Mungkin ada pihak berpendapat susah untuk menukar uniform sekolah agama pada hari Jumaat dan mahu mengenakan pakaian sama seperti sekolah kebangsaan.

“Bagi saya itu tidak menjadi sebarang masalah dan kita sedia terima sebarang cadangan, apa yang lebih penting adalah mereka hadir ke sekolah,” jelasnya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Mohd. Fared berkata, pekerja lelaki Islam yang tidak dibenarkan oleh majikan untuk menunai solat Jumaat bermula 1 Januari depan diminta membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Mana-mana syarikat yang enggan beri pelepasan dua jam bagi solat Jumaat atau disukarkan urusan solat pekerja mereka boleh dilaporkan kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi.

“Jangan masukkan sentimen politik kerana perkara ini telah mendapat perkenan dan akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan,” katanya.
SURAU

Dalam pada itu, sebanyak 15 sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan 11 sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memohon kebenaran Jabatan Mufti agar surau mereka atau surau kariah berhampiran dinaik taraf menjadi surau Jumaat.

“Sebagai langkah penyelesai­an, Jabatan Mufti Johor juga telah mengeluarkan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Jumaat di Sekolah-Sekolah.

“Ini melibatkan sekolah yang jaraknya melebihi radius tiga kilometer dari kawasan masjid, jumlah murid dan guru Islam yang ramai dan sekolah tidak mempunyai penempatan penduduk serta kemudahan menunaikan solat Jumaat di kawasan sekitar,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan