TUKAR PUTRA KEPADA PERTANIAN ; TINDAKAN MENTERI TIDAK TELITI DAN GOPOH




TUKAR PUTRA KEPADA PERTANIAN ; TINDAKAN MENTERI TIDAK TELITI DAN GOPOH

1. Bersungguh-sungguh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih mesra dipanggil Abang Mat Sabu untuk menukar semula nama UPM kepada Universiti Pertanian Malaysia. Kesungguhan Abang Mat sehinggakan beliau sebut bahawa beliau sendiri akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet.

2. Sebenarnya, cadangan yang sama telah dibawa oleh Menteri yang terdahulu pada tahun 2018 iaitu almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub (Abang Din) yang berhasrat untuk menubuhkan sebuah universiti yang kursus pendidikannya menumpukan sepenuhnya kepada bidang dan sektor pertanian dengan mengadakan perbincangan dengan pihak UPM dan setelah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan mendengar beberapa pandangan khususnya daripada beberapa tokoh dan individu yang terlibat secara langsung dalam pengembangan pertanian negara.

3. Berbanding dengan tindakan Abang Mat yang terus berhasrat untuk membawa ke Kabinet, pendekatan yang dilakukan oleh almarhum Abang Din lebih matang dan tersusun, malangnya usaha untuk menubuhkan sebuah universiti yang memfokuskan pertanian tidak kesampaian.

4. Saya tidak pasti apa yang Abang Mat fikirkan dan dari mana idea tersebut diperolehi namun secara umumnya kita boleh mengandaikan bahawa dengan menukar kembali nama UPM kepada Pertanian, ia bukanlah penyelesaian kepada bekalan beras tempatan yang sangat dinantikan dan ia bukanlah usaha yang dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan makanan berasaskan pertanian di dalam pasaran.

5. Sama ada namanya PUTRA ataupun PUTRI atau apa nama jua sekalipun, ia bukan menjadi persoalannya. Lebih baik fokuskan kepada pengembangan dalam jurusan pendidikan yang ditawarkan ataupun mempertingkatkan serta memperbanyalkan kajian yang berkaitan.

6. Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan dengan cadangan untuk menukar nama UPM kepada Universiti Pertanian Malaysia mengejutkan kita semua apabila Tuanku mendedahkan bahawa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak merujuk kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti terlebih dahulu.

7. Nampak sangat tindakan Abang Mat tidak teliti sehingga membelakangkan pihak yang lebih berautoriti. Lebih memalukan, didedahkan bahawa PUTRA telah dijenamakan semula sebagai "Pertanian Untuk Rakyat" pada bulan Mei yang lalu oleh Sultan Selangor sendiri di Istana Alam Shah, Klang.

8. Kesimpulannya, tindakan Abang Mat selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan boleh dikategorikan sebagai TIDAK TELITI dan GOPOH sehingga memalukan diri sendiri.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
30 November 2024, 9.18 malam

Ulasan